HomeBeritaJamal syukur dibebaskan dari pendakwaan politik

Jamal syukur dibebaskan dari pendakwaan politik

AMPANG: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos meluahkan rasa syukur setelah dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan memuat naik video dengan kenyataan jelik di laman Facebook, dua tahun lalu.

Menerusi kenyataannya sebelum ini, beliau menggesa Bukit Aman menyiasat kekayaan yang dimiliki oleh bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat.

Jamal ketika itu tidak menolak kemungkinan Abdul Samah terlibat dalam melindungi taukeh-taukeh yang menjalankan operasi premis perjudian haram di sekitar Ampang sejak 2015.

Bagaimananapun beliau yakin jika ini zaman Pakatan Harapan (PH), proses perbicaraan mungkin lebih panjang.

“Setelah perbicaraan dan peringkat pendakwaan hari ini menunjukkan tiada prima facie bagi pendakwaan.

“Alhamdulillah kita menjalankan perbicaraan setelah hujahan pun sudah difailkan di mahkamah, kes ini dilepas dan dibebaskan.

“Jadi saya percaya pertuduhan tersebut adalah satu pertuduhan yang tidak sesuai dan ianya bersifat politik.

“Saya yakin jika hari ini PH memerintah negara, saya yakin keputusannya tidak akan memihak kepada saya kerana saya berada di pihak yang benar.

“Sudah semestinya bagi saya perkara itu benar dilakukan, saya bukan merompak, bukan menyamun, rasuah, hanya sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab untuk kebaikan negara dan rakyat,” katanya kepada media di pekarangan Mahkamah Ampang hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Wan Mohd Norisham Wan Yaakob memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Jamal di akhir kes pendakwaan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta yang sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali Raman manakala peguam Mohd Hafizuddin Khan Norkhan mewakili Jamal.

Pihak pendakwaan menutup kesnya pada Julai lalu selepas mengemukakan tiga saksi sepanjang perbicaraan yang bermula Mei tahun lalu.

Author

Pilihan Editor