HomeBeritaJangan 'tunggang' Melayu untuk kepentingan diri - Makkal Sakti

Jangan ‘tunggang’ Melayu untuk kepentingan diri – Makkal Sakti

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diminta menghentikan ‘drama’ tunggang Melayu dalam kepentingan diri.

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran mendakwa Mahathir adalah punca sebenar Melayu berpecah dan wujud banyak parti serpihan.

Katanya, perbuatan Ahli Parlimen Langkawi itu sudah ‘dihidu’ sejak wujud parti serpihan Melayu pertama iaitu Semangat 46, kemudian UMNO Baru, diikuti Bersatu dan kini Pejuang dengan kemudian menubuhkan gagasan baharu diberi nama Gerakan Tanah Air.

“Gerakan Tanah Air hanya orang Melayu? Sudahlah. Daripada dulu lagi Tun Mahathir ni pecah belahkan Melayu.

“Janganlah gunakan Melayu itu sebagai mangsa untuk memecahbelahkan. Dulu orang kata India banyak parti, sekarang Melayu banyak parti.

“Who is the man behind of all this? Tun Mahathir. This man has made Malay suffering. Cukuplah. of your (Mahathir) drama, umur pun dah lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Pemerkasaan Jalinan Rakyat Parti Makkal Sakti bersama Barisan Nasional (BN) di Dewan Auditorium UMNO, di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Beliau turut menyindir Tun Mahathir berhubung gagasan baharu itu berikutan perjuangan yang dimaksudnya itu tidak serupa bikin berikutan terdapat komponen keanggotaan bukan Melayu.

“Dia kata menyatukan Melayu, tapi saya nampak ada IMAN. IMAN (parti) itu bukan Melayu.

“Kalau benar-benar Melayu, UMNO lah. Satu-satunya parti perjuangkan hak orang Melayu dari dulu dan sejarah 60 tahun sudah membuktikannya, malah mampu mendengar denyut nadi rakyat majmuk,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamed mengumumkan pembentukan gagasan baharu menerusi Gerakan Tanah Air bersama komponen parti, Berjasa, Putra dan IMAN yang memperjuangkan hak-hak orang Melayu sebagai keutamaan.

Author

Pilihan Editor