HomeMV+EksklusifKaedah OSL bongkar usia bata Sungai Batu 582 SM

Kaedah OSL bongkar usia bata Sungai Batu 582 SM

KUALA LUMPUR: Usia sebenar bata tanah liat yang dipercayai hanya satu seumpamanya di dunia ditemui di jeti Sungai Batu, Kedah berusia 582 Sebelum Masihi (SM).

Penentuan usia itu dikenal pasti berdasarkan kaedah pentarikhan kajian arkeologi menggunakan teknik kronometrik iaitu pendar kilau rangsangan optik atau OSL (optically stimulated luminescence).

Untuk rekod, tiada lagi penemuan sama di lokasi lain selain tapak yang dipercayai tapak ritual tertua di Asia Tenggara itu.

Lebih menarik lagi, mengikut FB Tamadun Sungai Batu monumen itu dibina oleh penduduk tempatan, berorientasikan Gunung Jerai.

MEDIA VARIASI baru-baru ini melaporkan pengkaji sejarah Noor Rafiza Ahmad mendakwa Gunung Jerai mengikut sejarah lisan penduduk setempat dipercayai tempat pertabalan Raja-raja Melayu pertama dan terawal dipilih rakyat sebeluk kedatangan agama-agama di Tanah Melayu.

Berdasarkan rekod penyelidikan, tanah liat banyak didapati di Sungai Batu, dan ia dipercayai dibakar, disusun dan dilekat menggunakan resin yang mengukuhkan binaan tembok monumen berkenaan tanpa bahan asing lain.

Penyelidik lapangan kompleks arkeologi Sungai Batu, Dr Mohd Hasfarisham Abdul Halim, berkata kaedah OSL digunapakai bagi menentusahkan pentarikhan terhadap sampel batu di tapak monumen berkenaan.

“Hasil kaedah ini kita dapati usia bata di jeti Sungai Batu itu dikesan berusia 582 SM, di pengurusan pelabuhan (487 SM), manakala tapak ritual (110 Masihi, M).

“Antara mekanisme yang digunakan adalah meneliti bila kali terakhir cahaya terkena pada kuarza dan lain-lain yang ada pada kandungan tanah liat.

“Kita kaji bila kali terakhir tanah liat diambil, diuli jadi bata dan dibakar, didirikan struktur monumen. Bila sesetengah kandungan bata terdedah pada cahaya, itu kita tentukan pentarikhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MEDIA VARIASI di pusat pameran pada Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM) bertemakan ‘Kesatuan Melayu, Keunggulan Peradaban’ di Padang KLFA, Taman Melati, di sini.

Katanya, usia bata di jeti Sungai Batu itu dikesan berusia 582 SM, di pengurusan pelabuhan (487 SM), manakala tapak ritual (110 Masihi, M).

Bagaimanapun, katanya, kaedah ujian pentarikhan karbon hanya diuji pada tapak peleburan besi di kawasan sama.

“Tapak lebur besi, tidak menggunakan struktur monumen. Jadi kita uji terhadap bahan bakar sampel arang oleh proses peleburan besi itu sendiri. Kita nak kaji, karbon-14 C14 yang ada pada kandungan itu dan dipertarikhkan menggunakan radiokarbon.

“Hasil pentarikhan itu kita dapati, ia menunjukkan data bahawa industri besi di Sungai Batu bermula sejak 788 SM,” katanya.

Katanya, kebarangkalian, ketepatan data itu dikeluarkan sebanyak 95 peratus ralat ketepatan, iaitu menghampiri ralat diterima.

“Jadi, berdasarkan fakta semasa di sekitar Sungai Batu yang penduduk asalnya orang Melayu sejak zaman berzaman, monumen ritual ini paling hampir dimiliki oleh orang Melayu.

“Menjadi persoalan dan misteri ialah apakah anutan agama warga Sungai Batu kerana tiada satu berhala ditemui di Tanah Melayu sebelum kedatangan agama-agama lain termasuk Islam.

“Adakah manusia di Tanah Melayu sudah menyembah Tuhan Yang Esa sebelum kedatangan Arab di sini?,” katanya.

Mengulas mengenai Gunung Jerai, katanya pada kurun ke 12 Masihi bersamaan 1100- 1200 Masihi, seorang Sultan pertama Kedah direkodkan memeluk agama Islam di puncak Gunung Jerai, namun monumen ritual dibina sejak kurun ke-2 atau 110 Masihi bersamaan 100- 200 Masihi- MEDIA VARIASI

Author

Pilihan Editor