HomeBeritaKecoh, bendera terbalik ketika raptai kemerdekaan

Kecoh, bendera terbalik ketika raptai kemerdekaan

KUALA LUMPUR: Kecoh seketika di kalangan rakyat apabila melihat bendera terbalik ketika raptai sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka di sini pagi tadi.

Orang ramai yang terlihat bendera terbalik itu merakam visual sebelum ia tular di media sosial.

Bagaimanapun menurut pengamal media yang ada di lokasi, selepas menyedari kedudukan bendera itu, petugas menurunkan kembali bendera berkenaan.

Berikut adalah kenyataan dikeluarkan pihak penganjuran raptai, merujuk kepada insiden video yang tular di media sosial acara menaikkan Jalur Gemilang ketika nyanyian lagu Negaraku semasa raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka pagi tadi, telah berlaku kesilapan tatacara menaikkan Jalur Gemilang secara terbalik oleh tim penaik Jalur Gemilang.

Perkara tersebut telah disedari oleh pihak penaik Jalur Gemilang, namun acara perlu diteruskan sehingga selesai lagu Negaraku dimainkan sebagai menghormati lagu kebangsaan dan mengikut tatacara protokol istiadat.

Sebaik tamat lagu Negaraku, pihak penaik Jalur Gemilang telah mengambil tindakan yang sewajarnya memperbetulkan kedudukan Jalur Gemilang dengan yang sebenarnya.

Acara menaikkan Jalur Gemilang telah menjadi tradisi kepada Tentera Laut Diraja Malaysia dan insiden yang berlaku ini adalah di luar jangkaan.

Kenyataan itu turut memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan penyebaran video berkenaan.

Isu bendera terbalik hampir setiap tahun berlaku sama ada sengaja atau terlepas pandang namun ia insiden yang perlu diambil perhatian.

Pada 2017, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din dipetik media berkata, mana-mana pelaku yang sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk penjara.

Beliau mengulas isu tular di media sosial gambar Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di beberapa kawasan malah ada yang mendakwa tindakan itu turut berlaku di Johor.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, mana-mana pelaku boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atau Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 boleh dihukum denda tidak melebihi RM100 manakala Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan ini boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Author

Pilihan Editor