TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 289 kilogram (kg) minyak masak peket satu kg bersubsidi menerusi operasi bersepadu di Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Aswadi Jaafar berkata dalam operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Marin Wilayah Tiga itu, pasukannya telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan berada di kawasan gelap pada pukul 12 tengah malam.
“Seorang individu dilihat sedang memunggah sesuatu daripada kenderaan jenis Proton Wira Aeroback tersebut dan ketika serbuan suspek berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran menyebabkan dia gagal dikesan.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan minyak masak peket satu kg yang dimuatkan dalam 17 kotak dengan anggaran nilai RM723.50 yang disyaki untuk diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Aswadi berkata kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa lesen dengan niat melakukan kesalahan.
Menurutnya siasatan lanjut akan dijalankan ke atas pemilik asal kenderaan dan punca barang kawalan diperoleh.
“KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil. Kerjasama bersepadu bersama agensi penguatkuasaan sempadan juga akan sentiasa dijalankan bagi membendung kegiatan penyeludupan terutamanya membabitkan barang kawalan,” katanya. -BERNAMA