HomeBeritaKPDNHEP rampas minyak masak diseludup RM2.41 juta

KPDNHEP rampas minyak masak diseludup RM2.41 juta

GOMBAK: [DIKEMASKINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan rampasan minyak masak peket bersubsidi dan botol berjumlah RM2.41 juta membabitkan 126 kes penyeludupan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, rampasan itu direkodkan bermula 1 Julai 2022 hingga semalam meliputi pelbagai kesalahan.

Katanya, ia membabitkan KPDNHEP negeri dan daerah seluruh negara menerusi Op ATM (ayam, telur, minyak masak) ke atas pematuhan harga maksimum runcit minyak masak kelapa sawit tulen dalam botol oleh peniaga secara harian.

“Antara kesalahan yang dikesan antaranya membekalkan kepada pihak tidak berlesen, sorok bekalan di tempat tidak dilesenkan, sengaja atau tidak sengaja untuk tidak selenggara butiran rekod.

“Op ini akan diteruskan, dan kita akan terus memperkukuhkan risikan. Pada masa yang sama, berterima kasih kepada pengguna kerana membantu melaporkan,” katanya.

Azman Adam

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pemeriksaan pematuhan harga maksimum minyak masak botol KPDNHEP – Op ATM, di pasaraya TMG Mart, Sri Gombak, di sini.

Justeru, KPDNHEP meneruskan OPS ATM (ayam, telur, minyak masak) supaya peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya mendapati, sebanyak 31 peratus premis perniagaan menjual minyak masak botol, di bawah harga ditetapkan kerajaan manakala 68 peratus lagi, mengikut harga ditetapkan kerajaan.

Katanya, ia berdasarkan pemeriksaan harga minyak masak kelapa sawit tulen botol yang diwartakan melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2022, berkuat kuasa pada 8 Ogos lalu, sehingga semalam, di seluruh negara.

Bagaimanapun, berdasarkan pemeriksaan itu juga, pihaknya turut menerima lapan aduan dan mendapati empat kes berlaku penyelewengan masing-masing dua di Kelantan, Sabah (1) dan Wilayah Persekutuan (1).

“Sejak melaksanakan Op khas selepas penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI), kita sudah membuat pemeriksaan sebanyak 16,552 Op ATM, dan terlibat dalam 239 pemeriksaan operasi bersepadu bersama agensi lain,” katanya.

Author

Pilihan Editor