HomeBeritaKPLB peruntuk elaun RM176 juta hargai peranan JPKK, JPKKP

KPLB peruntuk elaun RM176 juta hargai peranan JPKK, JPKKP

AYER KEROH: Peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) dilihat amat penting, hari ini.

Justeru, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan elaun sebanyak RM176 juta kepada organisasi berkenaan di seluruh negara, tahun ini.

Ia bagi menghargai peranan JPKK dan JPKKP dalam menggerakkan komuniti setempat.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, elaun berkenaan adalah insentif oleh Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan melihat peranan JPKK amat penting sebagai perantara di peringkat akar umbi dalam menyalurkan sebarang masalah atau aduan masyarakat kepada pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan JPKK Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Pengarah KPLB Melaka, Norazlin Mohd Nor.

Mahdzir berkata, sejumlah lebih RM80 juta telah selesai disalurkan kepada 12 negeri bagi fasa satu untuk tempoh Januari hingga Jun.

Jelasnya, dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang dan Selangor bagaimanapun belum disalurkan peruntukan elaun.

“Pulau Pinang belum dapat disalurkan kerana lantikan JPKK negeri itu belum selesai.

“Selangor pula masih menggunakan peruntukan sedia ada,” katanya.

Selain elaun Kerajaan Persekutuan, katanya, JPKK di beberapa negeri turut menerima elaun tambahan daripada kerajaan negeri.

“Untuk elaun tambahan ini, kerajaan negeri Melaka misalnya memberi RM200 sebulan bagi Pengerusi, RM50 sebulan bagi Setiausaha, RM100 elaun mesyuarat iaitu terhad kepada enam kali mesyuarat setahun dan RM50 untuk Elaun Kehadiran Mesyuarat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mahdzir berkata, bayaran elaun JPKK fasa dua bagi negeri Melaka masih dalam proses melengkapkan dokumentasi oleh pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri.

“Proses sedang berjalan dan kita akan pastikan pembayaran elaun ini akan dapat disegerakan sebelum akhir tahun ini,” kata Mahdzir.

Author

Pilihan Editor