HomeSukanManchester United pamer wajah dan semangat baru

Manchester United pamer wajah dan semangat baru

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag, menilai semangat juang menjadi kunci kemenangan ke atas musuh ketat, Liverpool.

United tampil dengan wajah berlainan berbanding dua perlawanan sebelum ini.

Hasilnya, The Red Devils berjaya menumbangkan Liverpool 2-1 di Old Trafford pada saingan ketiga Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, awal pagi Selasa.

Tuan rumah membuka akaun jaringan pada minit ke-16 menerusi gol dari Jadon Sancho dan menambah jaringan kedua oleh Marcus Rashford m-53 dari satu serangan balas kilat.

The Reds mendapat gol sagu hati melalui Mohamed Salah di penghujung permainan.

“Kita dapat bercakap mengenai taktik tetapi semua ini adalah tentang sikap. Ada komunikasi dan semangat juang. Saya mahukan pendekatan dan sikap yang berbeza dan faktor inilah yang mereka bawa ke dalam padang.

“Ini baru permulaan. Kami boleh bermain dengan lebih tenang dan lebih berbahaya. Jadilah pasukan dan memiliki semangat yang bagus dan itu apa yang kita lihat hari ini,” ujar Ten Hag dipetik dari BBC.

Tambahan tiga mata membantu United keluar dari zon penyingkiran. Mereka kini berada di kedudukan ke-14 mengatasi Liverpool di tangga ke-16 dengan dua mata.

Author

Pilihan Editor