HomeBeritaMOSTI mahu penguatkuasaan angkasa diperkasa, bimbang berlaku kemalangan

MOSTI mahu penguatkuasaan angkasa diperkasa, bimbang berlaku kemalangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mahu rang undang-undang dan penguatkuasaan angkasa diperkasakan bagi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba mengulas kebimbangan rakyat berhubung insiden dua objek dipercayai sisa serpihan roket Long March 5B milik China yang jatuh di Sarawak pada 24 Julai lalu.

Beliau berkata, undang-undang itu perlu diperkukuhkan menerusi Lembaga Angkasa yang sudah diluluskan pada 25 Februari lalu.

“Penguatkuasaan perlu dijalankan melalui penubuhan Lembaga Angkasa itu sendiri dan penguat kuasa terlatih dilantik untuk melihat peraturan yang akan dikuat kuasa sepenuhnya pada awal 2023.

“Kita mahu supaya dengan ada rang undang-undang Akta 834 ini, berkaitan dengan Lembaga Angkasa, kita dapat berkolaborasi di peringkat antarabangsa bagaimana tanggungjawab pelancar tersebut dibebankan kepada mereka jika berlaku kemalangan.

“YB PM ada bertanya kepada saya, ini jatuh di muka bumi kita, mungkin tempat tiada orang, tiba satu masa terjatuh atas rumah ke atas kereta ke akan timbulkan bencana, sebelum berlaku bencana kita kena pastikan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir ke Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Teknologi di Aloft Kuala Lumpur Sentral.

Dua objek serpihan roket itu dijumpai di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri di Sarawak pada Ahad.

Ia selepas berlaku kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China sekitar 12.55 pagi dengan melintasi ruang udara Malaysia di beberapa kawasan termasuk sekitar Sarawak.

Video kejadian itu sempat dirakam penduduk di negeri itu sebelum tular di media sosial.

Author

Pilihan Editor