HomeBeritaPecah monopoli Puspakom untuk perkhidmatan lebih efisyen - PPDM

Pecah monopoli Puspakom untuk perkhidmatan lebih efisyen – PPDM

KUALA LUMPUR: Ketua Aktivis Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM), Kamarudin Hussain menuntut lebih banyak agensi mengendalikan pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer diwujudkan bukan membiarkan kenderaan dimonopoli oleh satu agensi sahaja iaitu Puspakom Sdn Bhd.

“Ini berikutan selama berpuluh-puluh tahun ini kami menghadapi pelbagai masalah di Puspakom seperti lambat, beratur panjang dan lain-lain yang menyusahkan ahli-ahli kami di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kami juga menerima banyak aduan berhubung isu pemeriksaan oleh Puspakom ada yang mendakwa pemeriksa-pemeriksa sengaja menyukarkan dan menyulitkan pemeriksaan supaya pemilik kenderaan akan menggunakan perkhidmatan ‘ejen’,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Dalam pada itu, Kamarudin menambah, dia sendiri pernah mengalami masalah ‘brake tangan’, keputusan pemeriksaan kenderaannya gagal.

“Aneh kerana sebelum ini saya pasti ‘brake tangan’ berfungsi dengan baik kerana penyelenggaraan dibuat di bengkel milik saya.

“Lalu pada tarikh dan masa yang sama saya berjumpa dengan Pengurus Cawangan dan minta untuk membuat pemeriksaan sendiri di litar pemeriksaan dan keputusan lulus.

“Kami tidak bermusuh dengan Puspakom tetapi kami mahu ahli-ahli kami diberi keadilan dan hak membuat pilihan untuk membuat pemeriksaan kenderaan,” katanya.

Menerusi kenyataan Puspakom pada Rabu lalu, sebanyak 15.8 peratus atau 42,772 kenderaan berat gagal mematuhi piawaian pemeriksaan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ia hasil pemeriksaan secara berkala Puspakom terhadap sejumlah 270,385 kenderaan berat.

Malah 4.6 peratus atau 12,339 kenderaan berat, gagal dalam ujian kecekapan brek.

Berikutan itu, Puspakom menyambut baik cadangan JPJ untuk menyemak semula kaedah pemeriksaan kenderaan berat membabitkan tahap keselamatan yang tinggi seperti pemeriksaan kecekapan brek, keselamatan tayar dan komponen lain.

Author

Pilihan Editor