HomeBeritaPermintaan majikan tangguh kuat kuasa Akta Kerja adalah rasional - Saravanan

Permintaan majikan tangguh kuat kuasa Akta Kerja adalah rasional – Saravanan

KUALA LUMPUR: Kerajaan melihat permintaan majikan berhubung penangguhan penguatkuasaan pindaan Akta Kerja 1955, bersifat rasional.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, beliau mengambil kira pandangan semua pihak termasuk desakan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), industri dan majikan.

“Kita perlu beri sedikit ruang kepada majikan, mungkin dalam sebulan dua ini, kita selesaikan isu kekurangan tenaga buruh, maka sesuailah kita implement (laksana penguatkuasaan).

“Kalau keadaan seperti ini, saya lihat, permintaan majikan adalah rasional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Majlis Persidangan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 2022, ‘Resilience Towards New Challenge’ Kali Ke-23 (COSH 2022), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Mengulas lanjut katanya, sebahagian besar kira-kira 19,000 warga Nepal daripada 47,000 pekerja asing sudah mula dibawa masuk sejak Ogos lalu, justeru tidak timbul isu kekurangan pekerja asing.

Kerajaan sebelum ini, memutuskan pelaksanaan pindaan Akta Kerja 1955 yang sepatutnya mula berkuat kuasa 1 September ini, ditangguhkan ke 1 Januari 2023.

Antara kandungan pindaan yang ditangguhkan itu ialah penambahan cuti bersalin daripada 60 hari ke 98 hari, penetapan cuti paterniti tujuh hari, pengurangan waktu kerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam serta aturan kerja fleksibel untuk pekerja.

Ia diputuskan dalam mesyuarat Kabinet, selepas pihak industri dan majikan sebulat suara memohon penangguhan atas beberapa faktor.

Author

Pilihan Editor