HomeBeritaPM umum kenaikan elaun KEMAS

PM umum kenaikan elaun KEMAS

SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kenaikan dua elaun warga KEMAS.

Ismail Sabri bersetuju menaikkan elaun Bantuan Sara Hidup dari RM300 ke RM500 membabitkan 4,423 pesara kakitangan kontrak Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBKAM).

Keduanya, seramai 9,439 Pembantu TADIKA KEMAS seluruh negara, turut menikmati kenaikan elaun dari RM500 hingga RM800.

Usaha itu katanya, bagi menghargai jasa, sumbangan dan tenaga warga KEMAS yang setia berkhidmat bakti mendokong dasar kerajaan khususnya luar bandar.

“Ia bagi menghargai jasa, sumbangan dan tenaga kakitangan agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“KEMAS adalah benteng barisan hadapan kerajaan, jadi kata dan telinga kerajaan hari ini,” katanya ketika hadir ke Majlis Perhimpunan Perdana Sambutan 60 tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Pada program sama, Ismail Sabri turut bersetuju mendigitalisasikan TABIKA atau TASKA KEMAS dengan memperuntukkan RM8 juta untuk mendigitalisasi 800 buah TABIKA atau TASKA KEMAS sebagai permulaan.

Beliau juga meminta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) untuk ambil tindakan segera, ia sebagai membalas jasa warga KEMAS berhubung cadangan Menteri membabitkan tiga perkara.

Ia antaranya, memendekkan tempoh kelayakan pegawai kontrak perkhidmatan ke lantikan jawatan tetap dari 15 tahun kepada 10 tahun, melibatkan kira-kira 4,322 orang pegawai dan kakitangan KEMAS berjawatan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang 15 tahun.

Keduanya, kelonggaran syarat pegawai lantikan kontrak perkhidmatan yang berkhidmat lebih 10 tahun tetapi kurang dari 15 tahun untuk dilantik dalam jawatan tetap.

Ketiganya, memberi dua gred kenaikan pangkat bagi skim-skim perkhidmatan iaitu Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat TABIKA/TASKA dari gred S19 ke S22 dan S26.

Selain itu, Pegawai Pembangunan Kemahiran & Komuniti (Gred S29) kepada gred S32 dan gred S38 manakala Pegawai KEMAS Daerah S38 ke S41 dan Pengarah KEMAS Negeri Gred S48 ke S52.

 

 

Author

Pilihan Editor