HomeBeritaSaman Malaysiakini, Awani: Pemuda UMNO sudah hubungi PM

Saman Malaysiakini, Awani: Pemuda UMNO sudah hubungi PM

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO memberitahu sudah berbincang dengan Presiden parti yang juga Perdana Menteri, untuk memulakan saman fitnah terhadap dua agensi media, hari ini berhubung dakwaan tidak berasas terhadap hasil Mesyuarat Biro Politik UMNO, di Pusat Dagangan Putra (WTC), Isnin lalu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan, dakwaan yang dibangkitkan oleh Malaysiakini dan Awani hanya sekadar menerbitkan kenyataan daripada sumber tidak sahih.

Dakwanya, artikel penerbitan daripada agensi media itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan tidak beretika, tetapi mencetuskan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti berusia 76 tahun berkenaan.

“Selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya berada dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO dari awal hingga akhir.

“Apa yang dilaporkan oleh Malaysiakini kononnya mesyuarat memberi kata dua kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sama ada untuk membubarkan Parlimen atau dipecat adalah fitnah dan berniat jahat untuk mencipta persepsi negatif terhadap UMNO.

“Begitu juga dengan Awani yang turut membuat berita fitnah tempoh hari, kononnya Mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UMNO ada mendesak untuk PM campur tangan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan SRC International,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Katanya, Malaysiakini dan Awani seharusnya mendapatkan atau memetik sumber yang sahih bukan hanya sekadar menyatakan ‘sumber dalaman’ yang tidak berasas hingga mencetuskan persepsi negatif.

Justeru, dalam hantaran sama katanya, sudah menghubungi Presiden UMNO dan berbincang dengan peguam parti untuk memulakan tindakan saman ke atas Malaysiakini dan Awani hari ini.

Author

Pilihan Editor