HomeMV+PendapatSistem mudah digodam kerana percaya kepakaran asing?

Sistem mudah digodam kerana percaya kepakaran asing?

SIKAP terlalu gah serta percaya kepada kepakaran dan konsultan asing, mengakibatkan banyak kes pengodaman sistem khususnya membabitkan institusi perbankan dan keselamatan negara.

Dalam masa sebulan, sudah beberapa kali media mengetengahkan isu pengguna yang kehilangan wang di bank.

Lebih memeranjatkan ramai antara mereka mendakwa tidak mendapat notifikasi dari pihak bank seperti kod kebenaran transaksi (TAC).

Pakar buah pinggang, Dr Rafidah Abdullah antara mangsa yang mendakwa lesap RM13,000 dari akaun CIMB dalam masa hanya setengah jam.

Perkongsian terbaru, seorang pemuda yang dikenali Ummar mendakwa kehilangan duit sebanyak RM12,000 dari akaun Maybank pada jam 4 pagi menerusi satu transaksi sahaja.

Dia mempersoalkan mengapa dia tidak menerima apa-apa notifikasi dari pihak bank dan mendakwa dia meletakkan had pengeluaran hanya RM5,000 dalam satu-satu masa.

Jelasnya menerusi satu kenyataan, dia tidak dibenarkan pihak Maybank untuk membuat laporan polis atau laporan ke Bank Negara ketika proses bank untuk ‘refund’ duit yang lesap itu.

Kita tidak pernah dengar bank membuat laporan polis sistem mereka digodam.

Pengasas Agenda Rakyat Malaysia, Datuk Dr Mohd Ramalan Yunus dipetik berkata, mencadangkan bank menggunakan sistem pengagihan (decentralized) maksudnya bukan sistem seperti sekarang pemusatan (centralized) yang amat mudah untuk digodam.

Bank tidak selamat kerana sistem pemusatan yang hanya ada satu perisai di mana ia tidak selamat, semua data diletakkan setempat, selalu dimanipulasi, diubah suai dan mudah dieksploitasi.

Analogi mudah begini, hospital dibina tetapi kurang staf.

Setelah penduduk ramai dan tiba-tiba ada wabak, ramai masuk hospital tetapi kurang staf untuk melayan.

Orang ramai tidak akan menyalahkan pihak yang merancang pembinaan hospital tetapi akan menyalahkan kelemahan dan staf yang lembab.

Tiga tahun lalu, berlaku insiden gangguan sistem ketibaan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama beberapa hari sehingga ‘boarding pass’ pun terpaksa ditulis tangan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan laporan yang tular di media sosial berhubung dakwaan kemasukan sejumlah warga Republik Rakyat China (RRC) ketika gangguan itu namun maklum balas itu dipertikaikan netizen.

Hasil maklumat dalaman mendapati pihak pengurusan mengabaikan amaran dari staf teknikal tempatan, sebaliknya meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kepakaran dan konsultan asing.

Sistem laporan polis iPRS juga mengalami gangguan beberapa siri pada tahun ini sehingga menyebabkan urusan perundangan seperti tuntutan insuran kemalangan tergendala.

Mereka sudah bersedia dengan alasan ‘System Error’, ‘System Down’ dalam penyelenggaraan dan lain-lain lagi alasan.

Bagaimanapun punca ini tidak akan diakui oleh mana-mana pihak pengurusan kerana mereka mendakwa sudah menggunakan perisai dari program sistem yang terbaik.

Pihak bank contohnya lebih suka siasatan polis yang hanya menjurus kepada siasatan jenayah dan siasatan ini tidak akan mendedahkan kelemahan atau kesilapan mereka semasa membeli sistem.

Mereka tidak sesekali akan mengakui kesilapan merancang, mengadakan persediaan atau membina pasukan teknikal tempatan yang lebih mantap.

Ini kerana peruntukan agensi adalah untuk membelanjakan wang bagi membangunkan sistem dan kontraktor luar (out source).

Jika mereka berani mengakui mereka silap maka ibarat menyerahkan tengkuk kepada pihak pengurusan kerana mereka gagal melihat ancaman siber yang datang lebih awal.

Kesimpulannya ia berlaku kerana kegagalan membangunkan kepakaran tempatan dan merendahkan kepakaran siber tempatan yang sememangnya berjiwa patriotik untuk menjaga negara.

Author

Pilihan Editor