HomeBerita170 rakyat Malaysia ditipu, dijual seperti hamba - MHO

170 rakyat Malaysia ditipu, dijual seperti hamba – MHO

PUTRAJAYA: Kira-kira 170 orang rakyat Malaysia menjadi mangsa kepada sindiket penipuan kerja di Myanmar, Laos dan Kemboja dan masih terperangkap di sana.

Demikian pendedahan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), yang komited memperjuangkan hak-hak asasi manusia dalam aspek program kemanusiaan dan khidmat guaman.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa-mangsa adalah rakyat Malaysia yang berbangsa Cina.

Hishamuddin (kiri)

“Pihak MHO menerima aduan bahawa mereka diperdaya oleh sindiket penipuan kerja di sana dengan pelbagai cara antaranya secara platfom online di mana ditawarkan dengan gaji yang tinggi.

“Kemudiannya apabila berada di sana mereka ini akan disuruh bekerja secara paksa, diugut serta diseksa oleh sindiket tersebut.

“Mereka dipaksa membuat pekerjaan haram seperti scammer, judi online dan diugut serta dipukul sekira tidak mencapai sasaran jualan, mereka akan dijual kepada pihak lain pula.

“Terdapat di antara mangsa di sana dipercayai dijual daripada satu ejen kepada ejen yang lain serta satu syarikat kepada syarikat yang lain malah daripada satu negara kepada negara yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyerahkan satu Memorandum Menggesa Kerajaan Membantu Rakyat Malaysia, Mangsa Sindiket Penipuan Kerja di Luar Negara kepada wakil Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di Putrajaya hari ini.

Tindakan MHO memperjuangkan nasib mereka adalah bertepatan dengan Perkara 3 ‘Universal Declaration of Human Rights’ (UDHR) di mana ia menekankan bahawa semua orang mempunyai hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri.

Perkara ini turut disokong di dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di dalam Perkara 5 dan Perkara 8 di mana ia telah menyatakan bahawa setiap orang di negara mempunyai hakdan mereka adalah sama di sisi undang-undang.

Tambah Hishamuddin, sindiket penipuan tersebut juga menuntut wang pampasan daripada rakyat Malaysia jika ingin dilepaskan atau dihantar kembali balik ke Malaysia dalam lingkungan lebih kurang RM50,000 hingga RM100,000.

“Pihak kami juga difahamkan terdapat beberapa mangsa apabila tidak tahan diseksa telah membuat laporan kepada pihak berkuasa di sana malangnya tiada tindakan serta pembelaan dan mereka beranggapan bahawa sindiket penipuan tersebut mempunyai pengaruh yang kuat di sana.

“Perkara ini telah berlanjutan yang mana menyebabkan hidup mereka dalam keadaan tertekan dan sebilangan daripada mereka telah gagal dikesan dan hilang jejak daripada ahli keluarga mereka di Malaysia.

“Pihak kami juga dimaklumkan bahawa terdapat ahli keluarga mangsa yang telah membuat laporan polis serta meminta bantuan kerajaan Malaysia dan Kedutaan Negara Malaysia di negara-negara tersebut tetapi tiada keputusan positif diterima di mana tindakan yang diambil dikatakan tidak mencukupi.

Tambahnya, MHO beranggapan bahawa ini adalah satu perlanggaran hak asasi manusia yang jelas dan jenis perhambaan moden yang juga bentuk pemerdagangan manusia yang salah di sisi undang-undang.

“MHO berharap pihak Wisma Putra dapat menghantar wakil ke negara-negara yang terlibat iaitu Myammar, Laos dan Kemboja.

“Perdana Menteri Malaysia digesa meletakkan tekanan mengenai isu ini semasa Persidangan Asia (ASEAN Conference) serta boleh mengambil tindakan diplomatik dengan negara-negara tersebut sekiranya perkara ini berpanjangan dan gagal diselesaikan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pihak MHO juga mengusulkan kerjasama di antara pihak Wisma Putra dan Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia untuk
memperketatkan syarat-syarat perjalanan ke luar negara bagi rakyat Malaysia yang ingin ke negara-negara berisiko seperti Kemboja, Laos dan Vietnam.

Syarat perjalanan yang ketat hendaklah dikuatkuasakan kepada rakyat Malaysia yang berumur di bawah 40 tahun yang keluar dengan tujuan untuk mendapat peluang pekerjaan di negara-negara Kemboja, Laos dan Vietnam.

Hanya syarikat-syarikat yang berdaftar dan mendapat kelulusan dari Kerajaan Malaysia dan negara-negara yang terlibat dibenarkan untuk mengambil pekerja.

Author

Pilihan Editor