HomeGaya HidupAir Mauritius KL-Mauritius kembali beroperasi mulai 1 Nov

Air Mauritius KL-Mauritius kembali beroperasi mulai 1 Nov

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak lama lagi, berpeluang untuk menikmati kembali penerbangan terus antara Kuala Lumpur-Mauritius, mulai November depan.

Air Mauritius bakal meraikan penerbangan bermula 1 November 2022, selepas operasi terhenti seketika akibat tempoh pandemik hampir tiga tahun lalu.

Penolong Pengurus Jualan, Pemasaran Bahagian Komersial Air Mauritius, Heavin Robert, berkata perkhidmatan dua kali seminggu itu akan dikendalikan pesawat Airbus A330-900neo, dilengkapi 28 tempat duduk Kelas Perniagaan (full flat beds) dan 260 tempat duduk Kelas Ekonomi.

“Kita merasa bangga sebab dapat mulakan semula penerbangan daripada KL ke Mauritius sebab masa pandemik banyak penerbangan dihentikan hampir tiga tahun lalu, tapi kini kita ada peluang itu.

“Kita terbuka untuk semua orang menaiki pesawat ini ke sana,” katanya kepada MEDIA VARIASI, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Mauritius Tourism Promotion Authority (MTPA) MK-Workshop 2022, di sebuah hotel terkemuka, di sini.

Turut hadir, Pegawai Promosi Pelancongan MTPA Belinda Udhin.

Belinda Udhin

Katanya, orang ramai boleh memulakan trip destinasi ke Mauritius dengan langkah pertama melayari laman sesawang rasmi, www.airmauritius.com, atau infokul@airmauritius atau ‘walk-in’ atau hubungi pejabat mereka di talian 03-21429161.

“Tiket penerbangan termasuk cukai dan insurans, bergantung kepada kekosongan tempat duduk.

“Saya juga menggalakkan supaya pengunjung ke Mauritius mendapatkan pakej penginapan sekurang-kurangnya empat malam, ‘make it shorter and sweet’,” katanya.

Sementara itu, Belinda berkata jika negara mengalami musim tengkujuh, Mauritius pula melalui musim panas bagi tempoh Oktober hingga Januari.

“Bagi tempoh itu, itu adalah tempoh kemuncak untuk Mauritius, cuaca cerah dan tenang, dan kami sangat teruja menunggu kehadiran rakyat Malaysia ke sana.

“Mauritius bukan hanya sekadar sebuah pantai menarik, tetapi ia adalah kepulauan segala-galanya dan paling istimewa adalah penduduknya yang menghidupkan pulau di sana,” katanya.

Justeru, katanya dengan pembukaan semula operasi penerbangan secara terus itu, dapat membantu menjana ekonomi negara khususnya membabitkan pasaran sekitar Asia.

“Selain rakyat Malaysia, kita juga mengharapkan pengunjung daripada pelbagai negara lain.

“Malah, kita berharap Malaysia menjadi sebuah hab di Benua Asia termasuk negara jiran, bagi tujuan penerbangan ini,” katanya.

Author

Pilihan Editor