HomeGaya HidupBaju RM1 di pasar karat Batang Kali

Baju RM1 di pasar karat Batang Kali

BATANG KALI: Setiap manusia ada kehendak dan keperluan masing-masing, namun sejak pandemik kita belajar mengurus kehendak agar tidak menjadi pembaziran.

Pasar yang menjual barang-barang dengan harga murah atau dikenali pasar karat di JRD Batang Kali beroperasi setiap pagi Ahad antara tempat yang menyediakan barangan berbaloi untuk dimiliki.

Baju baru dan lama RM5 di pasar karat JRD Batang Kali

Tinjauan MEDIA VARIASI ke Batang Kali mendapati pasar yang menempatkan lebih 50 peniaga ini dikunjungi bukan sahaja penduduk setempat malah dari jauh seperti Tanjung Malim, Kuala Kubu Bharu, Genting Highlands, Serendah, Rasa dan Rawang.

Harga barang serendah RM1, RM3, RM5 dan RM10 bukan sahaja murah namun berkualiti jika pandai memilih.

Tanjak di pasar karat JRD Batang Kali

Daripada tiada jenama kepada pelbagai jenama mewah seperti Coach, Guess, Gucci, Prada dan lain-lain ada dijual secara ‘terpakai’.

Peniaga yang dikenali sebagai Ali berkata, ragam orang kaya atau berada mereka hanya guna sekali atau dua kali sahaja.

Pengunjung hadir seawal jam 7 pagi di pasar karat JRD Batang Kali

“Jadi daripada dibuang atau disedekah, kadang-kadang seronok dapat jual semula dengan harga murah tetapi dimiliki oleh ‘tuan baharu’.

“Rasa puas hati apabila barang yang pernah menjadi milik kita, yang membuatkan kita rasa gembira kini perasaan itu dapat dikongsi bersama orang lain.

“Kadang-kadang boleh lihat wajah teruja pemilik baharu kerana tidak menyangka dapat memiliki sesuatu yang mereka mahu dengan harga murah.

“Perasaan itu tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Sementara itu, seorang pengunjung, Noor Rafiza berkata, pasar ini bagus untuk berbelanja kerana lebih jimat berbanding pasar raya.

“Kalau di pasar raya mungkin sehelai baju mencecah harga RM50 ke atas namun di sini baju sama jenis dibeli RM5.

“Dengan penjimatan bagi kelengkapan rumah dan pakaian, kita boleh fokus kewangan untuk perkara yang lebih penting seperti makan, perubatan, sekolah dan lain-lain.

“Hari ini saya hanya berbelanja 210 gram ikan bilis, dua helai seluar panjang, baju, dua pokok daun lidah buaya semuanya RM40 sahaja,” katanya.

Pelbagai barangan dijual, antaranya pakaian, kasut, jam, alat mainan, pokok tanaman, bunga, beg, racun serangga, tanjak, selimut, cadar, langsir, topi, kaset, makanan, aksesori, tudung, kerongsang, barang antik, kelengkapan rumah dan lain-lain lagi.

Beroperasi dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari, memastikan pengunjung pulang dengan hati gembira apabila dompet masih tidak berkurang isinya tetapi beberapa kehendak dapat dipenuhi.

Author

Pilihan Editor