HomeGaya HidupHarga tinggi bukan ukuran bagi pengumpul poster filem

Harga tinggi bukan ukuran bagi pengumpul poster filem

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Sinonim dengan pepatah dari mata turun ke hati demikianlah perumpamaan minat segelintir individu terhadap hobi ‘budaya pop’ iaitu menyimpan poster sesebuah filem sebagai koleksi.

Ada dalam kalangan peminat poster di Sarawak ini kata Musriffin Musa yang merupakan seorang kolektor dan penjual poster filem; sanggup berbelanja lebih demi memiliki sekeping poster filem vintaj.

Bergelar pengumpul poster filem sejak 21 tahun lalu serta pengusaha premis Kuching Pickers yang menjual pelbagai poster filem dari luar negara untuk pasaran di Sarawak, Musriffin mengakui komuniti pengumpul poster di Bumi Kenyalang seolah-olah tidak kelihatan.

“Namun rata-rata pelanggannya merupakan golongan elit dan profesional kerana ada dalam kalangan mereka akui ada nilai sentimental tersendiri menyimpan poster,” katanya ketika ditemui MEDIA VARIASI.

Poster sesebuah filem atau karaktor komik antara lazim diminati golongan tersebut kata Musriffin malahan mereka ini turut sanggup membelinya walaupun harga mahal.

“Ada segelintir mereka membeli poster namun ia tidak dibingkaikan tetapi hanya disimpan secara gulungan sahaja seperti keadaan asal poster itu di simpan di dalam galeri di luar negara.

“Ini kerana semakin sempurna poster berkenaan disimpan oleh para pengumpul di sini menjadikan harga poster terbabit semakin meningkat tinggi,” jelasnya situasi itu juga menggambarkan sebuah pelaburan buat kelompok tersebut.

Selain usia filem menjadi ukuran harga kata Musriffin sesebuah poster filem yang berdaftar serta mempunyai lesen turut menjadikan para pengumpul tidak mempedulikan harga yang ditetapkan.

“Mereka ini apabila meminati sesebuah filem bukan hanya jalan cerita filem itu mencuri perhatian namun mereka akan berusaha membeli patung sehinggalah poster filem sebagai tanda sokongan dan minat mendalam mereka,” ujarnya.

Mengenang kembali pada suatu ketika, Musriffin memberitahu dirinya pernah dihubungi oleh seorang doktor pakar terkenal di Kuching untuk membeli satu poster filem lama.

“Beliau telah menempah poster lama yang saya terpaksa cari dan beli dari galeri di luar negara dan terbangkan khas ke sini serta meminta saya menghantarnya ke kediaman beliau,” katanya.

Ketika menjejak kaki di kediaman pengumpul itu kata Musriffin berkongsi pengalaman beliau terpegun melihat dekorasi suatu ruangan dalam rumah pelanggannya itu seperti sebuah panggung wayang yang sebenar.

“Beginilah minat yang mendalam para pengumpul poster filem yang saya katakan mereka ini adalah golongan profesional yang tiada masa untuk keluar menonton wayang namun mewujudkan pawagam sendiri di rumah sebagai lokasi melepaskan lelah setelah sibuk bekerja,” jelasnya.

Bukan sahaja menyaksikan pengalaman pengumpul membina pawagam di rumah sendiri suatu detik berharga kata Musriffin, beliau turut pernah menjual poster vintej dengan harga mencecah RM6,000 di sini.

Author

Pilihan Editor