HomeBeritaJPKK, JAKOA tahu selok belok kawasan banjir di pedalaman - KPLB

JPKK, JAKOA tahu selok belok kawasan banjir di pedalaman – KPLB

KUALA NERANG: Peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terbukti berkesan dalam misi bantuan mangsa banjir di pedalaman ketika musim tengkujuh.

Ini kerana, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pegawai dan pimpinan tempatan JAKOA dan JPKK berpengalaman dan mengetahui selok belok kawasan masing-masing.

Justeru, beliau mengarahkan kementerian menggerakkan JAKOA dan JPKK bagi memastikan penduduk di pedalaman menerima bantuan jika berlaku banjir pada musim tengkujuh nanti.

“Persediaan banjir ini, dia ada prosedur operasi standard (SOP), contohnya di kawasan pedalaman kita ada JAKOA yang sudah ada SOP mereka dan nak buat apa, kalau dari 850 kampung orang asli di seluruh Semenanjung ini, dia (pegawai JAKOA) sudah tahu kawasan mana yang selalu banjir.

“Begitu juga dengan Ketua Kampung atau JPKK yang dilantik seluruh negara contohnya aliran hulu ke hilir sungai di daerah Padang Terap, mana kampung yang sebenarnya selalu banjir, yang tepi sungai ini dia sudah hafal sepatutnya dan dia akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Gerakan Veteran UMNO ‘Keluarga Ku Pengundi BN’ di sini.

Selain JAKOA kata Mahdzir, semua agensi kementerian juga akan memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi bencana banjir dan sudah mempunyai sasaran kawasan sering terjejas.

“Seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), mereka jaga pekebun-pekebun kecil, mereka juga tahu kawasan mana sering berlaku banjir dan mereka ada sasaran apa benda yang mereka patut buat dan semua agensi sudah ada peranan masing-masing dan sasaran mereka,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai November depan dan berisiko menyebabkan banjir besar.

Cuaca buruk juga diramal melanda negara kerana Monsun Timur Laut aktif pada bulan itu yang membawa hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar dijangka berlaku.

Author

Pilihan Editor