KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah untuk mencabar perintah Mahkamah Tinggi Syariah berhubung prosiding komital terhadapnya.
Prosiding komital dikenakan terhadap Maria kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi, yang merupakan bekas isteri ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.
Berdasarkan notis rayuan yang diperoleh menerusi carian sistem mahkamah, AGC memfailkan notis itu di Mahkamah Rayuan pada 9 Sept lepas kerana tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili AGC, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Pada 22 Ogos lepas, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan Maria untuk memulakan semakan kehakiman selepas memutuskan beliau tidak mencabar mana-mana bahagian undang-undang Islam di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah tetapi bidang kuasa mahkamah itu berhubung prosiding komital terhadapnya.
Permohonan bagi memulakan prosiding komital itu dikemukakan oleh SM Faisal selepas Maria mengeluarkan komen dan mengkritik keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka.
Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili SM Faisal, ketika dihubungi pula berkata pada pengurusan kes di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid secara dalam talian hari ini, mahkamah menetapkan 2 Nov bagi pendengaran permohonan anak guamnya untuk menjadi pencelah dalam semakan kehakiman itu.
Maria, 65, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 3 Mac tahun lepas dan menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.
Antara lain, beliau memohon perintah certiorari bagi membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Okt 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.
Maria mendakwa pengeluaran perintah dan notis itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).
Pada 4 Dis 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah selepas permohonan beliau untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu ditolak. – BERNAMA