HomeBeritaKontraktor G1 terima manfaat kenaikan kadar bantuan PRKM

Kontraktor G1 terima manfaat kenaikan kadar bantuan PRKM

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 kontraktor Gred G1, bakal menerima manfaat kenaikan kadar bantuan seunit bagi yang terbabit dalam pembinaan Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia (PRKM).

Kabinet meluluskan perkara itu selepas Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengemukakan cadangan terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, harga baharu bagi projek Bina Baharu PRKM dinaikkan daripada RM56,000 kepada RM66,000 seunit di Semenanjung.

Manakala bagi Wilayah Sabah, Sarawak dan Labuan dinaikkan daripada RM68,000 kepada RM79,000 seunit.

Katanya, projek Baik Pulih PRKM pula, dinaikkan pada kadar maksimum RM15,000 di Semenanjung manakala Sabah, Sarawak dan Labuan, pada kadar maksimumnya adalah RM17,000.

Ini berikutan, katanya, sebelum ini kadar program Baik Pulih PRKM di Semenanjung adalah RM13,000 manakala RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kenaikan itu akan membantu pihak kontraktor PRKM menangani isu peningkatan kos bahan binaan yang menyebabkan mereka gagal menyiapkan projek kerana tiada margin keuntungan kerja yang dilaksanakan.

“Ia bagi mengekang kenaikan harga bahan binaan yang perlu ditanggung oleh pihak kontraktor yang meruncing, terutamanya sejak Mei 2022 berdasarkan laporan indeks harga seunit bahan binaan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Jadi, kita berharap kontraktor PRKM boleh meneruskan projek mereka selepas ini kerana margin keuntungan dijamin mencukupi dengan nilai baharu yang diluluskan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulan September 2022 kementeriannya di Wisma FELCRA di ibu negara.

Turut hadir, Timbalan Menteri I KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi.

PRKM sebelum ini dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negara.

Untuk rekod, KPLB sebelum ini telah meluluskan permohonan Bina Baharu PRKM sebanyak 2,153 dan Baik Pulih sebanyak 11,892 buah rumah.

Jelas Mahdzir, kenaikan nilai bantuan itu juga akan membolehkan kira-kira 13,000 unit rumah PRKM dapat dilaksanakan di seluruh negara.

“Ia sekaligus akan memberi manfaat kepada lebih 70,000 isi rumah di luar bandar yang akan menerima bantuan rumah tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah proaktif kerajaan
bagi mengimbangi keperluan khususnya golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

“Ia bertujuan untuk menerima bantuan rumah yang selamat dan selesa seiring dengan konsep Keluarga Malaysia yang ambil cakna akan keperluan rakyat,” katanya.

Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir menyampaikan replika kunci rumah PRKM yang telah siap dibina kepada 10 penerima bantuan perumahan itu.

Turut disampaikan, Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Anak FELCRA 2021, Anugerah Peningkatan Produktiviti Estet Padi Musim 1/2022 dan Anugerah Khidmat Setia FELCRA.

 

Author

Pilihan Editor