HomeBeritaKPLB, KPPK bincang syor bela nasib penoreh getah RISDA

KPLB, KPPK bincang syor bela nasib penoreh getah RISDA

PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sudah melepasi peringkat pertama perbincangan bersama kementerian berkaitan membabitkan syor membela nasib penoreh getah terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata KPLB ketika ini sudah berbincang dengan pihak Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Katanya, perbincangan seterusnya akan diadakan pula dengan Kementerian Kewangan (MOF) minggu depan.

“Apabila ketiga-tiga kementerian ini sudah ada persefahaman, kita akan angkat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dapatkan kelulusan secepat mungkin.

“Perkara ini melibatkan masyarakat di kampung dan mesti ada pembelaan dari kerajaan buat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Penutup Program Mesra Pengguna di Pekarangan Pejabat Koperasi Kampung Padang Nyior Kedah Berhad di sini.

Ia bertujuan bagi membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Syor yang dikemukakan adalah meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 ketika ini, kepada lebih RM3.

Syor kedua adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan setiap tahun.

Mahdzir berkata, terdapat permohonan pekebun kecil getah RISDA untuk menukar tanaman getah ke sawit berikutan penurunan.

“Mereka mahu tukar tanaman tersebut ketika pelaksanaan projek penanaman semula tetapi perkara ini melibatkan polisi. Bagi memastikan kelestarian tanaman komoditi getah, RISDA menyasarkan seluas 25,000 hektar setahun dicapai bagi mengekalkan keluasan tanaman getah negara pada kadar 1.09 juta hektar,” katanya.

Author

Pilihan Editor