HomeBeritaKPLB peruntuk RM900 juta pembangunan infrastruktur asas Sarawak

KPLB peruntuk RM900 juta pembangunan infrastruktur asas Sarawak

KUCHING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan hampir RM900 juta bagi pelbagai pembangunan Wilayah Sarawak.

Infrastruktur asas, ekonomi, modal insan antara projek pembangunan yang terlibat.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara projek pembangunan infrastruktur asas adalah Jalan Luar Bandar (JALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

“Tahun 2022 kita ada peruntukan lebih kurang RM900 juta untuk Sarawak, jadi kita nak belanjakan untuk 2022, tapi pada masa yang sama ada projek sambungan 2021 yang belum siap, ada yang dari 2020 ke 2022.

“Jadi kita kena tengoklah benda ni supaya berjalan dan pada masa yang sama bila ada projek yang baharu masuk, kita koordinasi dengan kerajaan negeri (Sarawak).

“Kita ada projek tertentu yang sedang dilaksanakan di negeri Sarawak dan ada yang dipanggil prapelaksanaan, yang belum dilaksanakan.

“Pada masa yang sama kerajaan negeri juga ada projek prasarana yang mereka yang di atas bajet negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah; Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi dan Pengarah KPLB Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah.

Mahdzir berkata, hasil pertemuan itu, kerajaan Sarawak dan KPLB bersetuju untuk meningkatkan penyelarasan bagi semua projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan di wilayah itu.

“Jadi antara perkara yang kita bincang hari ini adalah yang melibatkan koordinasi diantara kerajaan negeri dengan kementerian. Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Premier juga bersetuju supaya pasukan teknikal daripada KPLB dan juga daripada kerajaan negeri dapat kerap berjumpa.

Ditanya mengenai projek yang bermasalah di Sarawak, Mahdzir berkata setakat ini tidak ada projek yang dihentikan atas faktor penjimatan kos ekoran pandemik COVID-19.

“Ada projek yang sudah siap, ada projek yang sedang dalam pelaksanaan, tapi yang paling penting sekali yang belum dan yang nak mula tu kita ada koordinasi kerana koordinasi sangat penting sebab nak tentukan supaya tidak ada pertindihan di antara bajet Negeri dengan bajet daripada KPLB.

Mengulas mengenai Bajet 2023 KPLB untuk wilayah Sarawak, beliau yakin peruntukannya akan melebihi daripada tahun ini.

“Jika ada bajet, bajet tu masih embargo 2023, tapi saya yakin ia lebih daripada 2022 lah”, katanya.

Author

Pilihan Editor