HomeSukanLapan pasukan Liga M3 serah dokumentasi proses pelesenan kelab

Lapan pasukan Liga M3 serah dokumentasi proses pelesenan kelab

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

LAPAN Pasukan Liga M3 2022 kini di dalam fasa untuk melengkapkan penyerahan dokumentasi bagi proses pelesenan kelab sehingga 17 September ini.

Kesemua lapan Pasukan yang dimaksudkan adalah Kuala Lumpur Rovers FC, BRM FC, PIB FC, Imigresen FC, Armed Forces FC, Kinabalu Jaguar FC, Manjung City FC dan Harini FT.

Menurut Ketua Pegawai Operasi AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, pihaknya dengan kerjasama Malaysian Football League (MFL) sebelum ini telah mengadakan sesi Taklimat Khas Pelesenan Kelab pada 15 Ogos 2022 bagi lapan pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Suku Akhir.

Sewaktu program tersebut berlangsung, kesemua pasukan juga telah dimaklumkan bahawa mereka diberi peruntukan masa kira-kira sebulan untuk melengkapkan proses pelesenan yang dimaksudkan.

Jelas Raimi, program itu bertujuan bukan sahaja menjadi modul pendidikan sebaliknya ia bakal menjadi titik permulaan untuk membimbing pasukan ke arah Pengurusan dan Pentadbiran yang lebih efisien berlandaskan Peraturan Pelesenan Kelab.

Ini kerana selaras struktur baharu Liga Super yang bakal dibarisi 18 pasukan pada musim 2023, dua wakil daripada Liga M3 akan memperolehi slot bermain di liga nombor satu negara sekali gus menjadi pasukan-pasukan yang berpotensi untuk bermain di Liga Super pada tahun hadapan dan kelulusan untuk Pelesenan Kelab adalah satu keperluan.

Mengulas lanjut, Raimi memberitahu AFL berharap agar semua pasukan dapat melengkapkan urusan Pelesenan Kelab ini walaupun tidak berjaya melangkah ke Final mahupun Play-Off ke Liga Super 2023.

“Pelesenan Kelab kini menjadi satu kewajipan kepada pasukan-pasukan yang ingin bermain di peringkat yang tertinggi dan adalah sangat baik jika semuanya telah pun bersedia sewaktu di peringkat Liga M3 lagi.

“Justeru AFL berharap kerjasama penuh daripada Pasukan-Pasukan seperti yang berkenaan agar dapat menyelesaikan proses dokumentasi Pelesenan Kelab yang telah pun diberikan tempoh sehingga 17 September 2022.

“Jika mereka gagal berbuat demikian atau lebih tepat tidak memenuhi syarat pelesenan kelab, mereka tidak akan diterima untuk bermain di Liga Super 2023 oleh MFL biarpun berjaya mencatat kemenangan pada Perlawanan Play-off akan datang.

“Apapun saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan-pasukan Liga M3 yang bakal bermain dalam aksi separuh akhir pusingan kedua Liga M3 pada Ahad ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Author

Pilihan Editor