KUCHING: Penjawat awam di Sarawak tidak boleh teragak-agak untuk memberi nasihat kepada menteri di negeri itu terutama yang membabitkan perkara dasar.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata penjawat awam adalah golongan yang bekerja di lapangan dan pandangan mereka penting dalam merangka dasar atau membuat keputusan baharu bagi pihak kerajaan.
“Penjawat awam adalah individu yang pintar, anda umpama enjin (kerajaan). Anda juga berada di lapangan dan anda boleh menasihati kami iaitu menteri mengenai apa yang perlu dilakukan.
“Anda memberikan kami maklum balas (nasihat) manakala kami menganalisis dan ia akan menjadi penyelesaian bersama, ini adalah cara untuk bergerak ke hadapan,” katanya ketika berucap pada sesi dialog awam bersama penjawat awam Sarawak di sini hari ini.
Lebih 700 penjawat awam hadir pada sesi bersama Premier Sarawak itu.
Abang Johari berkata hubungan kerja yang erat antara pemimpin negeri dengan penjawat awam adalah penting dalam memastikan agenda atau pelan kerajaan mencapai kejayaan.
Beliau berkata ini terbukti apabila agenda ekonomi digital yang dibawa oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah berjaya dilaksanakan.
“Ini boleh dilihat apabila pandemik COVID-19, semua aktiviti dilakukan secara dalam talian malah pembayaran pembelian secara dalam talian juga menggunakan Sarawak Pay kita,” katanya. – BERNAMA
TAG: sarawak, penjawat awam, abang johari
MASH MASH SBB