HomeBeritaPerangi fitnah satu jihad - Idris Ahmad

Perangi fitnah satu jihad – Idris Ahmad

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyeru rakyat perangi budaya fitnah di media sosial sebagai satu jihad.

Katanya amalan fitnah dalam bentuk penulisan dan perkongsian maklumat yang tidak tepat disulami fitnah yang memarakkan api kebencian dan kemarahan dalam kalangan masyarakat.

“Menyerang peribadi seseorang telah menjadi satu perkara normal.

“Melaga-lagakan beberapa pihak juga sehingga berlaku pergaduhan, kutuk-mengutuk, keji mengeji antara satu sama lain disebabkan perkara remeh sehingga timbul perselisihan, jatuhkan reputasi seseorang.

“Saya minta JAKIM gerakkan kempen kesedaran hentikan fitnah di media sosial, sebagai agensi Islam perlu tampil bimbing masyarakat bahaya fitnah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Hentikan Fitnah di media sosial di JAKIM di sini.

Idris melancarkan Kempen Hentikan Fitnah di Media Sosial di Bangunan Pusat Islam.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menyaksikan gimik pelancaran.

Sebagai tanda sokongan, buat tanda pagar #hentikanfitnahdimediasosial dan tukar status media sosial dengan paparan kempen.

Tambah Idris, kempen ini digerakkan supaya masyarakat kembali kepada agama dan nilai murni, pertama hentikan berita dan kandungan berunsurkan fitnah.

“Kedua, semua pihak perlu menyelidik terlebih dahulu setiap berita yang diterima.

“Kita perlu lebih bertanggungjawab, fitnah perlu dihentikan di semua platform kerana ia satu dosa besar.

“Kesan fitnah adalah hilang norma, etika, akhlak dan reputasi boleh beri kesan kepada anak yang masih kecil jika terikut sama.

“Cukup-cukuplah kita gaduh sesama kita kerana fitnah yang tidak bawa untung kepada negara,” katanya.

Author

Pilihan Editor