HomeBeritaPertama kali bertanding GPS sudah siap siaga jika PRU15 mengejut tahun ini

Pertama kali bertanding GPS sudah siap siaga jika PRU15 mengejut tahun ini

Oleh: ARRIAN ZAYNE

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walaupun diadakan mengejut pada tahun ini.

Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan GPS bergerak satu pasukan iaitu sebelum ini GPS telah membentuk jentera pilihan raya sebagai strategi.

“GPS adalah satu pasukan… apabila bola ada di sana, kami bersedia untuk menendangnya. (Ia adalah semangat) Sarawak First.

“Menghadapi PRU15 adalah sama seperti persediaan untuk peperiksaan, anda (akan) bersedia (sendiri) sekurang-kurangnya dua tahun sebelum itu,” katanya.

Premier Sarawak itu berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GPS di BCCK Kuching Sarawak, semalam.

Menurut beliau jentera pilihan raya yang dibentuk merupakan gabungan Ketua Wanita dan Pemuda daripada empat parti komponennya sebagai ahli majlis tertinggi GPS kerana dua pihak berkenaan adalah peranan utama sayap ini.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya tetapi kita telah membentuk jentera kita kerana tentu kita mahu memberikan suara yang lebih kuat dari Sarawak bagi membolehkan kita memainkan peranan besar di peringkat kebangsaan,” tegasnya.

Memandangkan PRU15 kali ini kata Abang Johari merupakan kali pertama GPS bertanding sebagai gabungan parti-parti Sarawak di peringkat kebangsaan, beliau optimis kestabilan GPS akan membuahkan hasil yang daripada pilihan raya berkenaan kelak.

“GPS berpandangan bahawa kestabilan politik negara adalah penting supaya kita dapat memberi perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat iaitu GPS akan menyumbang kepada kestabilan itu,” jelas beliau.

Menjawab soalan, Abang Johari berkata GPS akan mengekalkan status quo kerusi yang diperuntukkan kepada parti komponennya.

Peruntukan kerusi semasa bagi 31 kerusi yang ditandingi GPS ialah 14 kerusi bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); tujuh untuk Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); enam untuk Parti Rakyat Sarawak (PRS); dan empat untuk Parti Demokratik Progresif (PDP).

Author

Pilihan Editor