BANGI: Penantian lebih 62,000 pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berakhir apabila kerajaan meluluskan kenaikan kadar elaun sara hidup, mulai bulan ini.
Khabar gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia bersama 3,000 pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) di German Malaysian Institute (GMI), di sini.
Ismail Sabri berkata, pengumuman berkenaan membabitkan sejumlah seramai 62,998 pelajar tajaan MARA dalam dan luar negara.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pelbagai aspek termasuk peningkatan kos sara hidup serta beban kewangan ibu bapa pelajar terutama golongan B40.
“Bagi pelajar tajaan yang mengikuti pengajian dalam negara akan diseragamkan kepada satu kadar sahaja mengikut peringkat peringkat pengajian.
“Untuk bidang pengajian bermula peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah (PhD), akan dinaikkan kepada satu kadar sahaja iaitu pada kadar minimum RM650 sebulan sehingga maksimum RM950 sebulan.
“Manakala bagi pelajar yang mengikuti pengajian luar di semua negara diseragamkan kepada dua kadar sahaja iaitu kadar A dan B.
“Kadar ini dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan hingga maksimum RM7,600 sebulan bermula dari peringkat pengajian Sarjana Muda sehingga peringkat PhD,” katanya dalam ucapan.
Ismail Sabri menambah, kerajaan tambah sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia kalis cabaran.
Ia juga merupakan inisiatif kerajaan dan MARA dalam meringankan beban pelajar Keluarga Malaysia dalam mendepani isu kos sara hidup dan inflasi.
Untuk rekod, kadar elaun sara hidup pelajar dalam negara sebelum ini adalah berdasarkan Kadar A bagi kawasan bandar besar manakala Kadar B bagi kawasan luar bandar.
Penetapan bagi kategori itu iaitu minimum RM535 hingga maksimum RM885 sebulan dari peringkat Diploma hingga Doktor Falsafah.
Pelajar luar negara pula diseragamkan kepada Kadar A dan B sahaja termasuk Amerika Syarikat dan kadarnya minimum antara RM1,200 hingga maksimum RM5,712 sebulan.
“Saya harapkan seluruh pelajar Keluarga Malaysia sama ada di dalam dan di luar negara dapat merancang dan menguruskan elaun sara hidup yang disalurkan itu dengan sebaik mungkin agar aspek pembelajaran di institusi masing-masing berjalan lancar,” katanya.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.