HomeBeritaProjek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu kedua negara di Terengganu

Projek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu kedua negara di Terengganu

KUALA NERANG: Negara bakal memiliki Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu kedua dengan pengeluaran sekurang-kurangnya 1.5 juta ekor ayam setahun, sekali gus membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

Projek pembangunan kompleks bernilai RM20 juta itu akan dibangunkan di kawasan seluas 10 hektar, di Kampung Kubang Palas, Padang Terap, di sini.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui FELCRA Berhad, akan mengendalikan projek sistem ternakan ayam secara tertutup bermula Oktober tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek berkenaan berupaya mengeluarkan 250,000 ekor ayam sepusingan atau 1.5 juta ekor setahun.

“Ia strategi serampang dua mata yang tidak hanya memfokuskan kepada penjanaan ekonomi setempat sahaja, sebaliknya aktiviti bagi membantu menjamin keselamatan bekalan makanan dalam negara.

“Projek ini juga adalah inisiatif untuk meningkatkan kualiti kehidupan lebih baik di kawasan luar bandar, dan mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan selain menjana rantaian ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan tapak dan taklimat Projek Ternakan Ayam di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Datuk Seri Ghazali Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mat Roni Zakaria serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohammad Yusoff @ Munir Zakaria.

“Saya menaruh harapan untuk pelaksanaan projek ini. Anak-anak muda di Padang Terap tidak perlu lagi berhijrah ke bandar untuk bekerja sebaliknya boleh menetap di sini dan mendapatkan sumber pendapatan menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan,” katanya.

Selain itu, kata Mahdzir, projek itu turut memberi ruang kepada usahawan bimbingan FELCRA untuk terlibat secara aktif di dalam rangkaian pengeluaran dan pembekalan ayam.

Untuk rekod, FELCRA ketika ini melaksanakan projek Kompleks Ternakan Ayam Bersepadu pertama di Kampung Tanjung Seratus, di Rompin, Pahang.

Author

Pilihan Editor