PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan diadakan ketika negara berdepan musim banjir.
Ia susulan Mesyuarat Jemaah Menteri banyak membincangkan persediaan menghadapi banjir dalam negara, baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata mesyuarat yang berlangsung itu banyak memberi tumpuan kepada persediaan untuk menghadapi banjir di negara ini.
Katanya, Perdana Menteri juga mengambil kira nasihat daripada pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Justeru, biarlah Perdana Menteri yang umumkan kerana beliau berhak untuk menentukan tarikh (PRU15) yang sesuai.
“Kita memahami berkaitan bencana banjir. Di media sosial, cerita mengenai masalah banjir ini sudah jadi bermacam-macam (cerita), ada yang mengatakan pada Oktober, November dan Disember ini.
“Seeloknya, sumber yang tepat itu biarlah dikeluarkan oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Program Bimbingan Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J@KPLB) di sini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan mengesahkan Mesyuarat Jemaah Menteri turut membincangkan mengenai tarikh PRU15, namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ UMNO berhubung pembubaran Parlimen.