HomeBeritaPuteri Balqis lapor polis selepas bapa nafi bersikap keji

Puteri Balqis lapor polis selepas bapa nafi bersikap keji

KUALA LUMPUR: Selepas dinafikan dakwaan pernah menjadi mangsa gangguan seksual bapa kandung sendiri, pelakon remaja Puteri Balqis tampil membuat laporan polis.

Pelakon KL Force itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Wan Azlan Wan Mamat selepas menerima laporan daripada remaja berumur 15 tahun itu.

Menurut laporan terbabit, Puteri Balqis menyatakan diganggu secara seksual oleh bapanya sejak tahun 2013 hingga 2017.

“Laporan itu menyatakan mangsa juga sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapa kandungnya,” katanya kepada media.

Menurutnya lagi, kejadian berlaku ketika mangsa berusia enam tahun dan perbuatan itu dilakukan apabila ibu mangsa tiada di rumah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah

Pada Isnin, bapa kepada pelakon itu membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah menafikan dakwaan berkenaan.

Terdahulu, Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Televisyen Asia 2014 itu, membuat pendedahan mengejutkan menerusi satu temu bual di laman YouTube, mengenai sikap sebenar bapanya sehingga mendapat perhatian umum.

Author

Pilihan Editor