HomeSukanSaya tidak pernah menyesal bawa masuk Rahadiazli - Nafuzi

Saya tidak pernah menyesal bawa masuk Rahadiazli – Nafuzi

Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI

JURULATIH Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui kesilapan penjaga gol muda Rahadiazli Rahalim melakukan kesilapan memberikan Johor Darul Ta’zim (JDT) peluang untuk menjaringkan gol.

Katanya lagi, kesempatan yang dimiliki pemain lawan itu tidak dipersia-siakan oleh penyerang berbisa Bergson da Silva yang meledak gol ‘bunuh’ semangat pemain Sang Penyu.

“Ketika perlawanan 2-1 saya rasa kita mempunyai tenaga cukup untuk menyamakan kedudukan tetapi kita melepaskan gol ketiga cepat sangat.

“Kesilapan Rahadiazli kerana beliau tidak sepatutnya keluar tapi dengan pemain muda ini kita perlu jangka perkara seperti ini akan berlaku.

“Saya tidak pernah menyesal membawa masuk Rahadiazli. Saya bukan jurulatih yang suka menutup ruang pemain muda kerana ini semua proses pembelajaran, jadi kalau kita tutup tak guna kita bagi peluang.

“Banyak lagi yang perlu mereka belajar termasuk saya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Bukit Jalil malam tadi.

Ujar pengendali berusia 43 tahun itu lagi, dia kini memberi fokus kepada baki saingan Liga Super yang akan berakhir tidak lama lagi.

“Kami sasar untuk berada pada kedudukan tiga teratas,” katanya.

Author

Pilihan Editor