HomeSukanSelangor akan jalani 'post mortem' nilai pencapaian atlet SUKMA ke-20

Selangor akan jalani ‘post mortem’ nilai pencapaian atlet SUKMA ke-20

SUNGAI BULOH: Kerajaan Selangor bersikap proaktif meneliti semula prestasi atlet berdasarkan faktor insentif, aktiviti lapangan dan pembangunan sukan masing-masing susulan Johor mendahului carta kutipan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) kali ke-20.

Selangor sebelum ini berjaya bertahan menyandang takhta kejuaraan SUKMA selama sembilan tahun berturut-turut.

EXCO Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman, berkata, pihaknya masih berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian atlet negeri pada kejohanan berkenaan namun, siasatan tetap perlu dilakukan bagi melihat punca kedudukan sedikit merosot.

“Saya sangat puas hati (prestasi atlet), they go all out. Kalau kita tengok, gangsa (pingat) kita pergi ke suku akhir, cuma mungkin ada sentuhan akhir tak berjaya ke emas.

“SUKMA kali ini tidak dikira dari segi rekod tp tetap melibatkan nama-nama (atlet). Jadi, kita perlu lakukan ‘post mortem’ (siasatan teliti) semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menghargai Jasa Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi Program Ramah Mesra Bersama Bekas Perajurit, di Dewan Meranti, Paya Jaras, Bandar Baru Sungai Buloh, di sini.

Yang turut hadir, Yang DiPertua Badan Kebajikan Bekas Perajurit Sungai Buloh, Mejar Azmi Mohd dan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah.

Program berkenaan selaras dengan dasar kerajaan negeri, Smart and Caring (SAC) bertujuan membantu kebajikan veteran ATM dengan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada badan kebajikan terbabit.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Paya Jaras bagaimanapun masih yakin dengan prestasi pasukan Selangor, walaupun tidak berada di kedudukan tiga teratas tetapi keempat dengan 31 emas, setakat tengah hari, pada Sabtu.

Author

Pilihan Editor