HomeBeritaUMNO dalam proses muktamadkan calon PRU15

UMNO dalam proses muktamadkan calon PRU15

KUALA NERANG: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hampir pasti selepas UMNO menyatakan sedang proses melengkapkan senarai calon.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, senarai calon akan dimuktamadkan di peringkat kepimpinan tertinggi parti, selepas melepasi saringan peringkat Badan Perhubungan UMNO negeri.

Ketika ini katanya, beberapa Badan Perhubungan UMNO negeri sudah mula mengemukakan senarai calon

“Selepas itu, senarai akhir adalah apabila Pengerusi Perhubungan UMNO atau Barisan Nasional (BN) akan duduk bersama dengan barisan kepimpinan tertinggi untuk dimuktamadkan.

“Pengerusi BN Kedah misalnya dia bawa senarai dan kita akan berbincang dengan dia di peringkat tertinggi. Negeri Perak, Perlis negeri mana-mana saja kita bincang, muktamadnya di situlah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluargaku Pengundi BN’ di sini.

Mahdzir diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung senarai calon daripada Badan Perhubungan UMNO negeri bagi PRU15.

Ditanya mengenai jumlah senarai calon yang sudah dihantar atau diterima, beliau berkata pihaknya tidak menerima maklumat lanjut.

Bagaimanapun katanya, ciri-ciri calon yang disenaraikan adalah yang berpengalaman dan daripada pelbagai latar belakang.

“Kategori calon adalah hasil perbincangan antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri masing-masing bersama kepimpinan tertinggi parti dan gabungan.

“Di sana kita akan bincang dan akan tentukan sebab yang kemukakan itu daripada UMNO negeri, proses sedang berjalan, kita akan ambil yang berumur, berpengalaman, graduan semua itu berada dalam senarai dan ciri-ciri biasa pada pilihan raya umum ini,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata tarikh PRU15 akan ditentukan oleh Perdana Menteri setelah dibincangkan di peringkat pucuk pemimpin utama parti.

“Kita bincang tetapi prerogatif itu adalah daripada Perdana Menteri, dari segi tarikh apa semua itu, kita bincanglah, kita boleh tengok bila Perdana Menteri nak buat kita akan bersidang,” katanya.

Mengenai pelancaran Gerakan Veteran UMNO ‘Keluarga Ku Pengundi BN’ peringkat negeri Kedah, Mahdzir berkata veteran UMNO memiliki pengalaman luas dalam menyusun atur gerakan dalam menghadapi pilihan raya.

Justeru beliau menyeru agar veteran UMNO bersama-sama jentera parti untuk membantu memberi kemenangan kepada parti itu dalam PRU15 kelak.

Author

Pilihan Editor