HomeBeritaYang berjaya, bantulah rakan baharu, lama berusaha sama maju - PM

Yang berjaya, bantulah rakan baharu, lama berusaha sama maju – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan nilai potensi pelaburan sebanyak RM450 juta menerusi Ekspo dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia Ke-29 2022 (FIM2022) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ekspo berkenaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, nilai pelaburan menerusi penganjuran FIM2022 itu adalah suatu penambahbaikan berbanding RM121 juta pada tahun sebelumnya.

Justeru, katanya, bagi memastikan hasrat kerajaan agar industri francais negara terus berkembang, KPDNHEP mempergiatkan usaha melaksanakan program berpaksikan pembangunan francais di peringkat domestik dan global.

Malah, beliau berharap penglibatan masyarakat dalam bidang perniagaan francais terus dipertingkat dan disokong melalui pendekatan bersifat memudah cara dan meringankan.

“Kepada mereka yang telah berjaya, saya menyeru, bantulah rakan-rakan baharu atau sedang berkecimpung supaya lebih berdaya maju,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian menerusi teks ucapan perasmian dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada ekspo berkenaan.

Yang turut hadir, Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan.

Perdana Menteri berkata, perniagaan francais juga akan dipertingkatkan kepada perkhidmatan dalam talian secara ‘end-to-end’ melalui penambahbaikan proses sedia ada, kemahiran, sumber manusia, kajian peraturan dan polisi derta teknologi digital.

“Industri francais negara disasarkan meningkatkan nilai jualan negara daripada RM14.65 bilion kepada RM22.66 bilion menjelang 2025.

“Saya berharap industri francais berupaya meningkatkan taraf dan kualiti hidup diri dan masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 1,149 syarikat berdaftar di bawah Akta Francais 1998.

Lebih 49,000 peluang pekerjaan sudah diwujudkan pada 2021 melalui industri itu.

Jenama Francais Malaysia telah berkembang sebagai jenama terkemuka di seluruh dunia, dengan lebih daripada 68 jenama di 74 negara.

Author

Pilihan Editor