HomeBeritaAmaran, jangan jual jersi tiruan Piala Dunia 2022, denda sehingga RM1 juta

Amaran, jangan jual jersi tiruan Piala Dunia 2022, denda sehingga RM1 juta

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor mengingatkan kepada mana-mana pihak yang menjual jersi tiruan sempena Kejohanan Piala Dunia 2022 yang akan berlangsung di Qatar bulan hadapan akan diambil tindakan tegas.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pihaknya akan menjejaki pihak yang menjual jersi tiruan serta telah bekerjasama dengan syarikat pengeluar jenama antarabangsa bagi mengesan premis yang didapati jersi tiruan ini.

“Ini adalah perkara menjadi satu trend apabila berlaku kejohanan besar seperti Piala Dunia di Qatar tahun ini. Jadi, KPDNHEP telah bekerjasama rapat dengan wakil daripada industri pengeluar jersi jenama-jenama besar.

“Wakil daripada syarikat pengeluar ini telah memberikan data, hak cipta mereka terhadap bentuk rekaan jersi untuk memudahkan pihak KPDNHEP menjalankan penguatkuasaan. Jadi, ini memudahkan kami melakukan penguatkuasaan untuk mengesan premis yang menjual jersi tiruan ini tanpa perlu merujuk kembali kepada wakil-wakil syarikat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasaraya Lotus, Paradigm Mall, di sini pada Jumaat.

Tegasnya, pihak yang didapati menjual barangan tiruan akan dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Perihal Cap Dagangan 2019 dengan denda jumlah RM1 juta kepada setiap syarikat pengeluar jersi tiruan.

“Pihak KPDNHEP Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan di bawah undang-undang Akta Perihal Cap Dagangan 2019 dengan denda RM1 juta kepada syarikat berdaftar yang menghasilkan jersi tiruan,” jelasnya.

Kata Zuhairi, KPDNHEP Selangor telah mengenal pasti kawasan panas yang dijangka akan aktif menjual jersi tiruan berikutan permintaan yang tinggi daripada pengguna khususnya peminat bola sepak pada Kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kawasan hot spot telah pun dikenali peniaga yang menjual jersi tiruan ini. Di kawasan premis terbuka seperti kawasan pasar yang berniaga di lewat malam yang dikenali Downtown,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor