HomeBeritaAminuddin teruskan misi perjuangan bersama gabungan NGO lebih besar, berani

Aminuddin teruskan misi perjuangan bersama gabungan NGO lebih besar, berani

KUALA LUMPUR : Mantan Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Aminuddin Yahaya akan meneruskan misi perjuangan rakyat bersama gabungan NGO yang lebih besar dan berani.

Beliau berkata, hasrat berkenaan akan diumumkan bersama satu gabungan NGO terbesar pada sidang media jam 3 petang pada Isnin minggu depan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada rakan daripada Pembela yang bersama saya, menyokong perjuangan saya untuk rakyat sejak 10 tahun lalu.

“Saya akan teruskan misi perjuangan dengan skop lebih luas bersama gabungan yang lebih besar, kuat dan berani,” katanya kepada MEDIA VARIASI ketika mengulas isu perletakkan jawatan sebagai Pengerusi Sekretariat Pembela.

Keputusan itu dibuat selepas pengurusan tertinggi Pembela bermesyuarat dan sebulat suara menerima perletakan jawatan Aminuddin, pada 5 Oktober 2022.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan atau mengiyakan ketika ditanya samada keputusan drastiknya ada kaitan dengan pendiriannya yang mahu tindakan diambil terhadap madrasah yang tular baru-baru ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pembela, Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid berkata, sekretariat telah membuat keputusan untuk melantik Datuk Zainul Rijal Abu Bakar bagi menjalankan tugas-tugas Pengerusi berkuatkuasa 5 Oktober 2022 selama sebulan.

MEDIA VARIASI sebelum ini pada 24 September melaporkan, Aminuddin menggesa pihak berkuasa Selangor menggantung operasi madrasah di Jalan Kebun Shah Alam, yang tular baru-baru ini, buat sementara waktu sehingga siasatan selesai.

Ketika itu, Aminuddin masih menyandang jawatan dalam Pembela, berkata demikian kerana bimbang jika berlaku perkara yang boleh mengundang risiko kepada penghuninya.

Author

Pilihan Editor