HomeBeritaBajet 2023 perlu dibentang semula jika tidak sempat lulus tahun ini

Bajet 2023 perlu dibentang semula jika tidak sempat lulus tahun ini

CYBERJAYA: Bajet 2023 perlu dibentangkan semula oleh kerajaan baru kerana tidak sempat diluluskan sekiranya berlakunya pembubaran Parlimen dalam tempoh dua bulan ini.

Penganalisis Politik, Dr. Mazlan Ali berpandangan, Bajet 2023 perlu dibahaskan terlebih dahulu pada dasarnya tempoh dua bulan di Dewan Rakyat dan Negara sebelum dibawa untuk mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Kalau bubar Parlimen contohnya hari ini, bermaksud rang undang-undang (RUU) Bajet 2023 ini tidak dibahaskan. Bila bubar bermaksud sudah tidak anggota Dewan Rakyat tidak mempunyai jawatan lagi.

“Kerajaan juga sudah tiada lagi. Jadi kerajaan baharu kena bentang bajet yang baharu. Melainkan keajaiban berlaku, bentang bajet hari ini, bahas serta mendapat perkenan YDPA, semuanya selesai hari ini kerajaan baru boleh gunakan Bajet 2023 yang diluluskan ini tahun depan. Tetapi belanjawan ini panjang dan besar perlu proses sekurang-kurangnya dua bulan.

“Contohnya RUU Akti Lompat sudah digazetkan serta dibahaskan dan diluluskan, kalau Parlimen dibubarkan sekarang, kerajaan baharu boleh pakai undang-undang ini kerana telah lengkap prosesnya,” jelasnya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Tambahnya, penangguhan pelaksanaan Bajet 2023 akan menyukarkan pentadbiran kerajaan melaksanakan dasar ekonomi tahun hadapan seperti pembayaran emolumen (gaji) penjawat awam.

“Bila bubar Parlimen sekarang, bajet tak sempat lulus memang banyak masalah. Nak bayar gaji penjawat awam tidak boleh pada tahun depan kerana belanjawan ini bermula 1 Januari 2023.

“Untuk gaji sekarang, tiada masalah kerana menggunakan Belanjawan 2022. Kalau dibubarkan, kerajaan sudah tiada. Hanya boleh lantik Perdana Menteri jalankan pentadbiran tetapi tiada kuasa untuk luluskan bajet,” katanya lagi.

Spekulasi Dewan Rakyat bakal dibubarkan dalam masa terdekat telah menimbulkan persoalan sama ada Belanjawan 2023 sempat diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau sebaliknya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadualkan akan membuat pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang ini.

Namun, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh tahun ini selepas pembentangan bajet pada hari ini, pengumuman itu akan dilihat hanya dibuat sekadar atas kertas sahaja.

Author

Pilihan Editor