HomeBeritaBubar Parlimen sebelum bajet lulus akan beri kesan perbelanjaan negara - Pakar

Bubar Parlimen sebelum bajet lulus akan beri kesan perbelanjaan negara – Pakar

CYBERJAYA: Belanjawan yang dibentangkan tanpa diluluskan akan memberi banyak komplikasi sehingga memberi kesan terhadap perjalanan perbelanjaan negara, kata penganalisis politik, Mujibu Abd Muis.

Mujibu berkata demikian ketika dihubungi MEDIA VARIASI pada Selasa bagi mengulas mengenai Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.

Beliau mengulas mengenai khabar angin Parlimen akan dibubarkan sebelum sempat belanjawan itu dibahaskan dan diluluskan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangkakan akan berlangsung dalam masa terdekat.

“Saya nampak ada kebarangkalian kerajaan mungkin tergantung dengan perkiraan semasa, tidak ada mana-mana parti yang mendapat majoriti yang diperlukan.

“Jadi, kalau ini berlaku, sudah tentu Bajet 2023 itu akan menjadi masalah kerana tempoh bajet itu mungkin, katalah dalam PRU akan datang, kerajaan itu boleh dibentuk dalam bulan Disember atau pun tiada majoriti, bajet itu akan tergantung.

“Dan kalau sudah melangkau tahun, sudah tentulah komplikasi berkait dengan arahan perbicaraan, tatacara perolehan dan sebagainya akan memberikan kesan kepada perjalanan perbelanjaan negara,” katanya.

Justeru, beliau merasakan adalah lebih sesuai bajet itu dibahas dan diluluskan segera mengambil kira bahawa PRU15 masih boleh ditangguhkan kerana mandat itu masih ada sehingga Jun 2023 dan tidak ada keperluan yang mendesak bagi sesuatu pilihan raya diadakan.

Author

Pilihan Editor