HomeBeritaCalon PKR sanggup tinggalkan bidang akademik demi perjuang hak sama rata OKU

Calon PKR sanggup tinggalkan bidang akademik demi perjuang hak sama rata OKU

PETALING JAYA: Calon PKR Parlimen Wilayah Persekutuan, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz menegaskan beliau meninggalkan bidang akademik dan terjun ke bidang politik demi memperjuangkan masa depan anak-anak kurang upaya (OKU) yang lebih baik.

Beliau merupakan antara tujuh calon dengan latar belakang profesional yang diumumkan PKR semalam untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Noraishah berkata dalam sidang media semalam, beliau dilahirkan dengan spina bifida iaitu keadaan di mana korda spinanya ada masalah yang akan menyebabkan pesakitnya mengalami masalah membuang air besar dan air kecil.

“Ini bukan perkara yang memalukan, ini adalah realiti kehidupan untuk kami semua. Jadi saya nak cerita perjalanan saya bukan mudah sebab daripada tadika saya telah ditolak dan tadika juga tidak mahu ambil saya.

“Sampai sekarang saya masih dengar cerita, saya masih menolong keluarga-keluarga menulis surat untuk memasukkan anak-anak mereka ke aliran perdana,” katanya.

Beliau memberitahu kisah ini susulan pertanyaan pihak media berkenaan mengapa beliau sebagai ahli akademik dijadikan calon dan tidak menumpukan perhatiannya kepada penyelidikan sahaja.

Untuk rekod, beliau merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Parasitologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya yang juga seorang aktivis memperjuangkan hak-hak pesakit spina bifida sepertinya.

Menjawab kepada pertanyaan, beliau berkata isu yang dipersoalkan itu amat sensitif kepadanya kerana beliau telah bekerja keras sepanjang hidupnya untuk memahami spina bifida.

“Saya pergi ke luar negara untuk bekerja di makmal yang mengetuai kajian ‘neural tube defects’ di dunia. Anda boleh semak. Saya diselia Profesor Andrew Coates dan Profesor Nicholas Green dari University College London.

“Anda tidak akan jumpa kumpulan kajian ‘neural tube defects’ yang lebih baik. Saya seorang sahaja yang mempunyai makmal berfungsi untuk mengkaji ‘neural tube defects’. Saya sentiasa menerbitkan kajian berkenaan ‘neural tube defects’.

“Tetapi dari semasa ke semasa, pasukan saya, Malaysia Neural Tube Defects serta para penyelidik yang memohon pelbagai jenis geran dari Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu dari geran peneyelidikan atas, geran penyelidikan prototaip, geran penyelidikan translasi sehingga geran penyelidikan jangka panjang, semuanya ditolak.

“Sedangkan apa yang saya nak buat adalah untuk membantu anak-anak seperti saya untuk berjalan. Berjalan ya, tuan puan. Semua ibu bapa mahukan anak mereka boleh berjalan, boleh berdikari, boleh bersekolah,” jelasnya.

Menurutnya, perjuangan politiknya adalah untuk perjuangan hak OKU dan keberadaan beliau dalam pentas politik adalah untuk anak-anak yang senasib dengannya.

“Supaya tidak perlu nak menjawab soalan daripada doktor-doktor atau mereka yang tidak mahu menandatangani kad OKU, kerana sampai bila tuan puan tahu anak akan menjadi OKU selamanya.

“Kita di tahun 2022, dua tahun lalu sepatutnya kita sudah ada kereta terbang tetapi anak-anak saya masih tidak dapat pergi kerja, saya masih tidak boleh dapat dana penyelidikan

“Jadi, saya dengan rela melepaskan jawatan saya sebagai penjawat awam untuk berada di sini. Hari ini adalah hari orang kurang upaya di Malaysia mendapatkan peluang yang sama rata kerana saya tidak akan mengalah,” tegasnya lagi.

Beliau turut menjamin tidak akan menyorokkan apa-apa, termasuklah sekiranya tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak atasan parti termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli.

Author

Pilihan Editor