HomeBeritaGugur nama madrasah, guna nama rumah pemulihan

Gugur nama madrasah, guna nama rumah pemulihan

KUALA LUMPUR: Madrasah Darussolihin yang tular atas dakwaan terbabit isu penderaan penghuni sebelum ini tiba-tiba sudah mengubah nama pusat kepada Rumah Pemulihan Darussolihin.

Dalam temubual eksklusif MEDIA VARIASI bersama pihak berkenaan pada 20 September 2022 lalu, wakil Madrasah Darussolihin, Ridzuan mengaku ia madrasah yang dimaksudkan, yang tidak mendapat kelulusan mana-mana pihak sejak 20 tahun lalu tetapi beroperasi di bawah Pertubuhan Kebajikan Darussolihin berdaftar sahaja.

Beberapa siri laporan bongkar mengenai pusat sudah pun mendapat maklum balas pelbagai agensi.

Ia adalah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Ini termasuk kenyataan beberapa mangsa yang tampil tanpa paksaan.

Masing-masing mengesahkan pusat berkenaan tidak berdaftar dan tidak diwartakan dengan agensi berkaitan.

Bagaimanapun, tinjauan penulis di akaun Facebook yang sama, pusat berkenaan sudah pun menukar ganti nama baharu daripada sebuah madrasah kepada rumah pemulihan.

Beberapa hari lalu, pusat terbabit dengan nama baharu itu, dikunjungi pihak kerajaan negeri termasuk EXCO Agama Islam, Pengguna dan Industri Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, pihak MAIS dan JAIS.

Penulis cuba mendapatkan kenyataan daripada Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon dan Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sama ada premis berkenaan sudah pun diluluskan untuk beroperasi di bawah agensi terbabit susulan perubahan nama.

Bagaimanapun, beliau hanya mengunci mulut selepas pesanan ringkas yang dihantar melalui Whatsapp ‘dibalas’ tanda biru sahaja, sehingga hari ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad pula mengesahkan tidak meluluskan atau akan menerima pendaftaran Madrasah Darussolihin berikutan pusat berkenaan bukan berfungsi sebagai sekolah yang perlu mematuhi silibus dan kurikulum pendidikan Islam di Selangor.

Author

Pilihan Editor