HomeBeritaKuota satu peratus untuk komuniti OKU dalam MySTEP kekal - Kementerian Kewangan

Kuota satu peratus untuk komuniti OKU dalam MySTEP kekal – Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menjelaskan bahawa kuota satu peratus untuk komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) yang diperuntukkan dalam inisiatif MySTEP adalah kekal walaupun perkara itu tidak disebut semasa pembentangan Bajet 2023, Jumaat lepas.

Menurut MOF, pihaknya mengambil maklum bahawa Bajet 2023 masih tertakluk kepada kelulusan Parlimen yang akan bersidang semula selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun kementerian berpendapat adalah perlu bagi pihaknya memberi pencerahan mengenai beberapa perkara yang kurang jelas atau telah disalah tafsir berhubung Bajet 2023.

Menurut kementerian, ini kerana terdapat kekangan masa untuk Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memperincikan segala butiran mengenai lebih 200 inisiatif semasa pembentangan belanjawan berkenaan.

“Kuota satu peratus untuk OKU sememangnya telah diperuntukkan dalam inisiatif MySTEP yang bakal menyediakan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak, namun perkara ini tidak disebut semasa pembentangan kerana kebanyakan langkah utama Bajet 2023 disampaikan secara am bagi mematuhi had masa yang ditetapkan,” jelas MOF dalam satu kenyataan hari ini.

MOF memaklumkan gaji MySTEP juga dicadangkan untuk dinaikkan sebanyak RM100 iaitu antara RM1,500 hingga RM2,100.

Selain itu, kerajaan juga akan terus memperkasa OKU menerusi pelbagai langkah termasuk bantuan tunai langsung, bantuan mobiliti, pembinaan taska khas OKU dan penambahbaikan fasiliti mengajar di sekolah OKU.

Media sebelum ini melaporkan terdapat pihak yang meminta kerajaan melihat semula sistem kuota bagi program MySTEP memandangkan kuota khas bagi OKU tidak diumumkan seperti dalam Bajet 2022. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor