HomeBeritaLatar belakang calon jadi pilihan pengundi Ranau - Vennex

Latar belakang calon jadi pilihan pengundi Ranau – Vennex

CYBERJAYA: Pengundi di Ranau lebih mengutamakan latar belakang calon yang akan dipilih untuk mewakili kawasan Ranau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang berbanding parti politik yang diwakili.

Ketua Pemuda Bahagian UMNO Ranau, Vennex@Jasmin viki berkata, sebanyak 80 peratus kriteria penilaian akan mengambil kira latar belakang calon yang memperjuangkan isu-isu tempatan di kawasan Ranau di kalangan pengundi berbanding parti yang diwakili calon terbabit.

“Tahap sokongan rakyat di kawasan Ranau lebih fokus kepada faktor calon yang akan mewakili Barisan Nasional dalam 80 peratus, kepada parti merangkumi 20 peratus,” katanya ketika dihubungi MEDIA VARIASI.

Menurut Vennex, pengundi di Ranau juga akan memilih calon yang sentiasa peka terhadap isu-isu tempatan di kawasan seperti jalan raya, infrastruktur, peluang pekerjaan dan persatuan masyarakat setempat.

“Kualiti calon yang akan disukai oleh rakyat Ranau adalah sentiasa bersama dengan rakyat, ingin mengetahui masalah rakyat seperti jalan di kawasan pertanian, masalah dalam persatuan serta aktiviti ekonomi di Ranau,” ujarnya.

Pada PRU14 lepas, Jonathan Yasin daripada Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Ranau dengan mendapat 14, 880 undian mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Ewon Ebin yang memperoleh 13, 804 undian menjadikan majoriti undi sebanyak 1,076.

Untuk rekod, Jonathan menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) pada Mac lalu selepas keluar dari PKR pada tahun 2020.

Author

Pilihan Editor