HomeBeritaPeguam SM Faisal sakit kerana jangkitan, bicara ditangguh

Peguam SM Faisal sakit kerana jangkitan, bicara ditangguh

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Jenayah 3 Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan perbicaraan kes jenayah membabitkan jutawan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin berikutan peguambela utamanya sakit.

Perkara itu diputuskan Majistret, Nadia Othman setelah menerima permohonan penangguhan daripada peguambela mewakili SM Faisal, iaitu Datuk Jagjit Singh yang memaklumkan bahawa peguam utama ahli perniagaan itu, Datuk Akberdin Abdul Kader tidak dapat hadir kerana mengalami masalah pernafasan selain turut mengemukakan sijil cuti sakit (MC) kepada mahkamah.

Pada 14 September lalu, Akberdin tidak dapat hadir berikutan kakak iparnya meninggal dunia dan perbicaraan telah ditangguh kepada 14 Oktober.

Susulan itu, pada 14 Oktober, Mahkamah Majistret Jenayah 3 Kuala Lumpur membenarkan Akberdin untuk mendapatkan keterangan bertulis mengikut peruntukan Seksyen 402 (b) Kanun Tatacara Jenayah (CPC) daripada saksi sebelum memulakan prosiding.

Akberdin memohon keterangan bertulis saksi pendakwaan iaitu Elisa Nani Hanafi mengenai pertuduhan SM Faisal mencederakan bekas isterinya, Emilia Hanafi sebelum prosiding perbicaraan dijalankan. Maka prosiding ditangguhkan ke hari ini.

Dalam prosiding hari ini yang bermula sekitar jam 11 pagi tadi, pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria memberitahu mahkamah keterangan bertulis saksi pendakwaan (Witness Statement) telah pun dikemukakan, dengan pengecualian tempoh 14 hari sebagaimana dipersetujui semua pihak sebelum ini.

Peguam pemerhati mewakili mangsa Emilia, Amirul Iman Dollah dari Tetuan Nazri Yahya & Co memberitahu pihak media bahawa, satu salinan dokumen yang sama turut diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum hari perbicaraan dan telah disah terima oleh pihak pembelaan.

“Pihak pendakwaan pada hari ini telah memberitahu Mahkamah bahawa mereka telah bersedia untuk membuat pemeriksaan utama ke atas saksi iaitu Elisya Nani, keluarga mangsa yang berada ketika kejadian berlaku.

“Namun begitu, pihak peguambela SM Faisal telah memohon kepada Mahkamah, untuk penangguhan kes ke suatu tarikh selanjutnya kerana Akberdin telah mengalami Upper Respiratory Tract Infections iaitu jangkitan akut saluran pernafasan atas (URTI).

“Setelah mendengar daripada kedua-dua pihak, Majistret telah menetapkan tarikh 25 November 2022 bagi tujuan pemeriksaan ke atas saksi.

“Di samping itu, kesemua pihak diminta untuk memuktamadkan pemfailan hujahan isu undang-undang berkenaan Similar Facts Evidence (SFE) menjelang tarikh pendengaran seterusnya bagi urusan ini pada 17 November 2022,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Peguam pemerhati mewakili mangsa Emilia, ialah Nazri Yahya dan Amirul Iman Dollah dari Tetuan Nazri Yahya & Co.

Pihak pembelaan pada hari ini dikendalikan oleh Dato Jagjit Singh berserta dua orang peguambela serta seorang peguam pelatih dalam kamar (PDK).

Untuk rekod, SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emila, 43, yang ketika kejadian adalah isterinya di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 Nov 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Author

Pilihan Editor