HomeBeritaPemilihan calon PRU15 PKR berdasarkan parameter 'winnable'

Pemilihan calon PRU15 PKR berdasarkan parameter ‘winnable’

SEPANG: Pemilihan calon PKR yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah berdasarkan parameter yang ditetapkan parti iaitu calon yang ‘winnable’ (boleh menang).

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata demikian, bagi mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bahawa ramai yang kecewa dengan beberapa calon PKR.

Menurut Amirudin yang juga calon PKR bagi Parlimen Gombak, pemilihan calon parti melalui pelbagai proses bermula daripada cadangan di peringkat pemimpin akar umbi sehinggalah kepada tawaran individu.

Katanya, proses tersebut melalui sistem mesyuarat yang dipimpin Timbalan Presiden PKR, Rafizi Rami dan akhirnya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan untuk penetapan calon-calon.

“Proses dan saringan itu dilalui dan kita telah menetapkan beberapa parameter, sudah pasti parameter kita ialah ‘winnable’ (boleh menang).

“Kalau kita cakap ‘incumbent’ (penyandang jawatan) kemungkinan tidak ada kesan, mungkin ada kesan tetapi kita perlu melakukan regenerasi dalam calon-calon tertentu supaya keadaan yang lebih segar dan menarik dapat dihasilkan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang pada hari ini.

Sementara itu, beliau turut menjawab mengenai pengekalan beberapa calon yang dipertandingkan di beberapa kawasan adalah berdasarkan individu tersebut.

“Kita tak mahu mana-mana pihak ‘menongkat langit’ dari dulu sampai sekarang di satu-satu tempat, kecuali beberapa individu yang ‘key’ dan penting, sebagai contoh presiden, saya kira agak ‘key’ dan penting sebab itu kita kekalkan beliau sebagai calon PRU15,” ujarnya.

Apabila ditanya adakah parti tidak takut kehilangan undi daripada pengundi lama apabila calon lama tidak dikekalkan, Amirudin menjawab jika begitulah caranya, parti tidak akan dapat mencipta sejarah.

“Pada tahun 2008, saya adalah calon ‘fresh’ berumur 28 tahun, Nik Nazmi ketika itu 27 tahun.

“Kalau pada ketika itu kita hanya memikirkan kehilangan pengundi akibat calon yang lama ditukar atau digantikan pada ketika itu kita tak dapat mencipta sejarah, menafikan dua per tiga dan merampas negeri Selangor. Jadi ‘angle’ itu perlu dilihat secara menyeluruh.

“Saya percaya keresahan dan pandangan saudara Tian itu mungkin ada beberapa meritnya tetapi kita harus melihat aspek yang menyeluruh, melihat kerangka kerja yang besar untuk memastikan parti dapat ‘move one’ dan maju terus berdepan PRU15,” katanya lagi.

Tambahnya, pandangan Tian itu akan diambil iktibar khususnya selepas PRU15 supaya parti dapat melihat keputusan dengan lebih menyeluruh.

Author

Pilihan Editor