KUALA LUMPUR: Penyandang Miss International pada tahun 2016 dinobatkan Mrs Malaysia World selepas menewaskan 10 peserta dalam pusingan akhir semalam.
Olivia Constance Nicholas, 30, seorang peguam dari Ipoh berjaya mengulangi kejayaannya selepas menjadi seorang isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata.
Pertandingan berprestij dunia dianjurkan Mrs Malaysia World Sdn Bhd itu memberi peluang kepada para wanita yang bergelar isteri dan ibu untuk mengambil bahagian.
Pemegang Sarjana Muda undang-undang dari Universiti Multimedia Melaka ini memberi jawapan yang menyentuh hati ramai ketika soalan diajukan kepadanya.
Moderator majlis bertanya jika dia diberi peluang untuk bercakap dengan pemimpin negara apakah yang akan diutarakannya.
Jelas Olivia dia akan mengetengahkan isu kemiskinan dan pentingnya melahirkan masyarakat yang tidak mementingkan diri iaitu sanggup berkongsi rezeki, kekayaan, kepakaran kepada golongan yang memerlukan.
Jawapan itu mendapat tepukan dan sorakan gemuruh daripada hadirin yang memenuhi dewan di Hotel Berjaya Times Square.
Dalam pada itu, Olivia meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas sokongan semua yang mahu namanya diangkat sebagai Mrs Malaysia World.
“Saya meminati dunia ratu cantik sejak usia 16 tahun, saya suka lihat wanita cantik, berkeyakinan, bijaksana dalam memimpin diri, keluarga dan orang lain kepada sesuatu yang lebih baik.
“Bagi saya cahaya kecantikan itu sebenarnya akan terpancar dari dalam diri iaitu apabila kita sentiasa positif dalam melihat sesuatu perkara dan juga sentiasa ikhlas membantu yang lain.
“Sebenarnya saya masih tidak menyangka boleh menang lagi selepas berkahwin dan memiliki anak, ini bukti kecantikan itu tidak akan hilang jika kita yakin dan percaya ia datang dari hati,” katanya kepada MEDIA VARIASI selepas dinobatkan Mrs Malaysia World di sini malam tadi.
Kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan isteri penyandang Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Shahar Abdullah, Datin Dr. Sharifah Nur ‘Insyirah turut mencuri tumpuan pada majlis itu.
Turut hadir Pengarah Nasional Mrs Malaysia World, Datin Harveen Kaur, Ketua Pegawai Eksekutif Mrs Malaysia World, Datuk Dr Kattayat Mohandas dan serta Mrs Malaysia World 2018, Lila Ruzaini.
Pertandingan Mrs Malaysia World, bukan memilih paras rupa sahaja tetapi merangkumi tertumpu kepada sikap positif dan aktif dalam menaik taraf kehidupan keluarga selain beketrampilan dan beri sumbangan kepada masyarakat.
Seramai 18 wanita telah menyertai sesi pemilihan dan hanya 11 wanita yang telah berjaya untuk bertanding di peringkat akhir.