HomeBeritaRemaja perempuan didakwa sebabkan kematian adik lelaki tanpa niat

Remaja perempuan didakwa sebabkan kematian adik lelaki tanpa niat

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-kanak di sini hari ini terhadap pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat adik lelakinya, minggu lepas.

Remaja berusia 17 tahun 11 bulan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Zhuhainie Zull Kafli.

Anak sulung daripada lima adik-beradik itu didakwa menyebabkan kematian tanpa niat adik lelakinya berusia 16 tahun, di sebuah rumah di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh di sini, kira-kira 1.50 tengah hari, 19 Oktober.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman yang mengendalikan pendakwaan bersama Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd Yunos berkata pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, pihak pembelaan yang mewakili remaja tersebut Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan, memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh adalah kanak-kanak.

“Selain itu, kita juga mengambil kira pendapatan keluarga dan latar belakang persekolahan yang mana pada tahun hadapan, tertuduh akan mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malayaia (STPM),” kata Abd Rahim ketika ditemui di luar mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap sebulan sekali.

Difahamkan, bapa remaja berkenaan membayar jaminan tersebut.

Mahkamah menetapkan 5 Disember untuk sebutan semula kes.

Pada 19 Oktober lepas, media melaporkan seorang remaja perempuan membaling pisau ke arah adik lelakinya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak. – BERNAMA

Authors

Pilihan Editor