HomeBeritaTolak pemimpin guna fitnah untuk kuasa

Tolak pemimpin guna fitnah untuk kuasa

KUALA LUMPUR: Rakyat sudah serik memilih pemimpin menjadikan fitnah untuk mendapat kuasa dan menjatuhkan orang lain.

Penyelidik kepentingan awam, Muhammad Zaki Omar berkata, rakyat sudah muak melihat pemimpin yang menggunakan strategi fitnah, hasutan untuk menyerang mana-mana pihak.

“Fitnah lebih bahaya dari rasuah kerana selagi ia diperkatakan sama ada di media sosial atau pentas politik selagi itu ia memusnahkan reputasi seseorang.

“Kita masih bertuah berada dalam dunia di hujung jari di mana semua maklumat boleh dinilai, disemak untuk mengetahui kebenaran, kita masih boleh menilai semula.

“Tentulah daripada sini kita terkejut melihat bagaimana pemimpin yang mendakwa memperjuangkan hak rakyat tetapi mengaut kekayaan untuk anak-anak dan kroni sahaja.

“Menjatuhkan orang lain dengan memfitnah demi menutup jenayah mereka, malah menghasut, menyokong kumpulan radikal subversif, rasis dan liberal.

“Mereka buat-buat lupa bahawa mereka memerintah adalah daripada mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat yang mahukan perubahan,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Dalam pada itu Zaki berkata, rakyat perlu ingat seperti kata Melayu, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

“Rakyat juga sudah bijak menilai sendiri bagaimana 22 bulan ketika PH memerintah, keutamaan hak rakyat diketepi, janji dikhianati, campur tangan dalam kuasa perundangan dan kebebasan bersuara media.

“Rakyat juga menolak pemimpin chauvinist, kiasu, sengaja melanggar kontrak sosial, memburukkan negara di mata dunia, menipu, manipulasi fakta untuk kepentingan diri,” katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan rakyat untuk memilih pemimpin yang berdaya tahan, ciri kepimpinan, tidak menggunakan agenda fitnah, yang tidak membelakangkan Perlembagaan, tidak hipokrit atau pengkhianat yang melakukan kebejatan terhadap negara.

“Memilih pemimpin yang sempurna tentulah sukar kerana azali manusia dicipta dengan seribu kekurangan tetapi memilih kualiti yang baik mungkin 60 peratus dari 100 peratus yang diharapkan sudah cukup baik.

“Kita rakyat tidak mahu negara ini jatuh kepada tangan yang salah, meminggirkan hak rakyat asal di negara ini dan merosakkan negara dengan fitnah yang boleh memecahbelahkan rakyat,” katanya.

Author

Pilihan Editor