HomeBerita‘Tolong saya dapatkan rumah, untuk habiskan sisa hidup’

‘Tolong saya dapatkan rumah, untuk habiskan sisa hidup’

KUALA LUMPUR: “Saya kalau boleh nak minta tolong dapatkan tempat tinggal untuk saya berteduh. Saya nak habiskan saya sisa-sisa hidup saya, dah tak lama lagi dah”.

Demikian luahan seorang pemilik rumah teres Kampung Sungai Bharu, Kampung Baru di ibu negara yang mahukan pembelaan setimpal diberikan kepadanya sebuah kediaman setelah menerima jumlah bayaran yang tidak setimpal.

Menurut penduduk itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rodziah, 68, beliau telah menduduki kawasan tersebut sejak dari tahun 1967 dan telah menerima notis arahan berpindah dari pihak berkuasa sebelum 31 Disember ini.

Jelasnya, beliau memohon agar disediakan sebuah kediaman disebabkan faktor kekangan dari segi kewangan serta masalah kesihatan telah membataskan beliau untuk bekerja bagi menampung kos pembelian rumah baharu.

“Saya diarahkan berpindah Disember tahun ini. Saya sudah menetap di sini selama 55 tahun. Nak pindah saya tidak bekerja, selalu sakit berulang-alik ke hospital. Saya rumah pun kini tiada. Saya tidak tahu di mana lagi saya mahu menetap.

“Saya harap dapat bantuan daripada mana-mana pihak untuk tempat tinggal saya. Ini tanah pusaka saya. Jadi saya kecil hati, saya rasa amat sedih dengan pampasan yang terlalu sedikit,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam program jelajah Harapan Muda Edisi Wilayah Persekutuan di Pusat Rukun Tetangga Kampung Sungai Baru, pada Ahad.

Tambahnya, jumlah nilai pampasan RM200,000 yang telah diterima menyukarkan beliau untuk membeli rumah baru mengikut harga jumlah pampasan tersebut.

“Hanya dapat pampasan berjumlah RM200,000. Mana ada rumah berharga jumlah seperti ini sekarang. Mana saya nak cari rumah dengan jumlah pampasan sebanyak ini. Dengan keadaan tidak bekerja, sakit sekarang mana nak dapat rumah dengan jumlah ini,” ujarnya.

Author

Pilihan Editor