HomeBeritaUbah persepsi kepimpinan gender: Fadhlina

Ubah persepsi kepimpinan gender: Fadhlina

KUALA LUMPUR: Masyarakat masih didoktrin dengan persepsi bahawa pemimpin negara hanya boleh diterajui oleh ahli politik lelaki dengan baik.

Pendoktrinan itu menyebabkan peluang wanita untuk memimpin negara sentiasa diketepikan dan mustahil untuk capai 30 peratus peluang di semua sektor.

Pengamal undang-undang, Fadhlina Siddiq berkata, usaha untuk memperkasakan wanita sebagai pemimpin dan pembuat dasar di semua sektor sentiasa diteruskan.

Bagaimanapun, katanya masalah persepsi budaya berlaku dalam masyarakat bahawa pemimpin yang baik adalah lelaki, bukan wanita.

“Kalau kita bercakap dengan ahli politik wanita, ia berkait rapat dengan isu stereotaip, asal wanita saja ada soalan yang tidak ditanya pada ahli politik lelaki sebagai contoh pakaian, siapa designer you, siapa siapkan you.

“Kedua isu keluarga, ahli politik lelaki tidak pernah disoal tentang status perkahwinan, siapa jaga anak dia, tapi kalau wanita, kalau seorang, you bercerai ka, tak ada lelaki ke. Jadi, kita kena ubah persepsi walaupun ambil masa sikit,” katanya kepada MEDIA VARIASI.

Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata, beberapa strategi perlu dilaksana untuk melakukan perubahan itu iaitu menerusi pendidikan bermula dari rumah, pembuat dasar dan komitmen program kesedaran memperkasakan wanita secara berterusan di pelbagai peringkat.

“Menerusi pendidikan, kita tak boleh beritahu anak perempuan dia di dapur saja, anak lelaki keluar rumah.

“Kedua, berkaitan pembuat dasar. Tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dalam usaha mengarusperdanakan Akta Gender bagi memberi ruang lebih baik untuk kepimpinan wanita berdasarkan 30-40 peratus kuota.

“Bagi saya bila kita wanita berada dalam konteks pembuat dasar, kita kena terus buat untuk pastikan komposisi wanita lebih baik di tiga negeri ini,” katanya.

Terdahulu, beliau antara ahli panel menyampaikan pendapat pada Forum Kepimpinan Wanita Bersama Pemimpin Wanita Bersama Pemimpin Dalam Politik Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di sini, baru-baru ini.

Author

Pilihan Editor